26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Jangan pandang ringan penjajahan sosial – Mohammad Shatar

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kemerdekaan yang dikecapi negara selama 64 tahun tidak boleh dipandang ringan oleh generasi muda bagi mengelakkan penjajahan baharu berbentuk sosial.

Pakar sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, generasi muda memainkan peranan penting dalam mengekalkan kemerdekaan, namun golongan itu perlu dilengkapi dengan sifat cinta akan negara yang tinggi bagi memastikan tanah air tidak dijajah lagi.

Beliau berkata, penjajahan era ini bukanlah dalam bentuk fizikal yang mudah dikenal pasti atau dipatahkan, tetapi apa lebih merisaukan ialah penjajahan minda dan emosi yang sukar ditangani.

Katanya, diharap barisan anak muda yang kini menjadi majoriti penduduk di negara ini mempunyai jati diri yang tinggi dan perkara itu perlulah dimanifestasikan.

“Cara paling mudah ialah dengan mengibarkan bendera, namun dalam era globalisasi ini, kita mahu anak muda menzahirkan rasa cinta terhadap negara menerusi media sosial dengan menunjukkan gambar, video, grafik, tulisan dan lukisan yang mereka hasilkan.

“Bukan sekadar itu, kita mahu golongan ini berbicara peri pentingnya sesebuah negara mencapai kemerdekaan, mengekalkannya serta menjadikan semua ini sebagai budaya baharu terutama ketika bulan kemerdekaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai peranan golongan remaja atau generasi muda dalam menzahirkan rasa cinta akan negara seterusnya mengekalkan kemerdekaan tanah air.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, apabila anak muda mampu menghayati elemen asas jati diri, mudah untuk mereka menerajui tampuk pemerintahan negara dan mengekalkan kedaulatannya apabila tiba masanya nanti.

Katanya, apa yang dirisaukan apabila anak muda mudah dijajah dalam konteks sosial, minda dan emosi kerana kesannya amat parah dan sukar untuk dipulihkan.

“Seharusnya mereka bersyukur kerana kita sudah sampai ke satu status yang boleh dibanggakan, malah ada banyak bidang yang setaraf dengan negara maju tatkala ada dalam kalangan negara yang merdeka lebih kurang Malaysia, namun prestasi pembangunannya masih terkebelakang.

“Jadi, kemerdekaan yang dikecapi ini tidak boleh dipandang sepi tanpa ada perancangan yang jitu dalam usaha mengekalkannya terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan