24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Lebih banyak pihak perlu tampil bantu golongan terjejas

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berharap lebih banyak agensi kerajaan dan swasta yang memberi sumbangan dalam bentuk makanan dan keperluan diri serta rumah bagi memastikan kelangsungan hidup golongan yang terjejas.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, program seperti sumbangan bakul makanan diharap dapat mengurangkan beban mereka yang terjejas tersebut.

Menurut beliau, inisiatif tersebut juga memberikan suntikan semangat serta penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang sangat komited dalam menjalankan tanggungjawab mereka mengekang penularan jangkitan Covid-19 di negara ini.

“Kerajaan akan terus komited dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat dan tidak akan berkompromi dalam soal memelihara kebajikan rakyat dengan bantuan yang berterusan melalui inisiatif Program Food Bank Malaysia yang diterajui oleh kementerian ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hari ini, Alexander menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada seramai 100 ketua isi rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia, Bandar Tun Razak di sini.

Advertisements

Sesi penyerahan sumbangan sempena Program Hand-to-Hand Bersama Komuniti dan Petugas Barisan Hadapan itu merupakan kerjasama KPDNHEP bersama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan disokong oleh syarikat 99 Speedmart Sdn Bhd serta Rakan Strategik Utama Sekretariat Food Bank Malaysia iaitu The Lost Food Project.

MyCC telah menyumbangkan sebanyak 800 bakul makanan kepada golongan sasaran B40 di Sabah dan di kawasan Lembah Klang.

Program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu turut melibatkan SSM yang menyumbang bantuan berbentuk zakat kepada golongan fakir miskin kepada 500 buah keluarga.

Program kerjasama ini telah mula dilaksanakan pada 19 Julai 2021 di Masjid Puncak Taqwa Pekan Kinarut Papar, Sabah dan turut diperluaskan di Lembah Klang meliputi kawasan seperti Taman Sri Sentosa Kuala Lumpur, Taman Petaling Utama Petaling Jaya, Pangsapuri Desaria Petaling Jaya, Flat Citra Taman Kajang Utama dan Kajang Perdana Kajang.

Program ini juga turut dilaksanakan di Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahmiah (HTAR) Klang dengan sasaran sejumlah 600 bakul makanan yang akan disumbangkan.

Kolaborasi bersama pihak MyCC dan SSM adalah satu langkah yang progresif dalam usaha membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan