25.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Pelajar berpotensi jadi peneraju utama agenda Madani

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

GOLONGAN pelajar berpotensi menjadi peneraju konsep Malaysia Madani sekiranya dididik dengan menerapkan elemen Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial (JERIS).

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, puluhan ribu graduan dihasilkan institusi pendidikan tinggi (IPT) saban tahun dan mereka adalah aset penting untuk memacu pembangunan dan kecemerlangan negara.

Beliau berkata, antara agenda Malaysia Madani adalah menumpukan kepada penyelesaian masalah, memenuhi keperluan semasa negara dan menyentuh pencorakan masa depan.

Katanya, Malaysia Madani yang mengetengahkan tonggak dasar yang diacu berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat dan ihsan mampu memperkasa pelajar seterusnya memanusiakan manusia.

“Tempoh pengajian mereka perlu dimanfaatkan untuk menyuntik ‘roh pendidikan’ yang berteraskan madani.

“Bagi merealisasikan perkara ini, kita mengharapkan pensyarah di IPT untuk memainkan peranan amat penting supaya pelajar benar-benar menghayati JERIS dan agenda madani dapat dijayakan seperti yang dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Advertisements

Konsep Malaysia Madani dan perkataan madani hangat diperkatakan sejak diperkenalkan Perdana Menteri dalam ucapannya awal tahun ini.

Secara falsafahnya, konsep berkenaan diyakini mampu untuk membentuk masyarakat yang berjaya seterusnya meningkatkan kecemerlangan negara dalam segenap aspek.

Dalam pada itu, Mohammad Shatar berkata, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga sering mengingatkan penerapan konsep madani dalam kalangan warganya.

Katanya, kita pastinya mahu generasi pelajar yang dilahirkan dapat melonjakkan imej Malaysia sebagai negara yang berintegriti dan bersih seperti dihasratkan kepemimpinan negara.

“MQA akan terus komited dalam menjaga kualiti pendidikan tinggi supaya semua agenda yang direncanakan dapat dijayakan dan pelajar bukan sekadar mempunyai kelayakan akademik, namun insan yang mempunyai ciri-ciri madani.

“Tidak hairanlah satu hari nanti negara luar akan merujuk kita kerana bukan sekadar hebat dalam akademik tetapi juga hebat dalam konteks JERIS yang bertunjangkan madani,” ujarnya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan