30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Ismail Sabri angkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini, kira-kira pukul 2.20 petang.

Bernama melaporkan, Ismail Sabri mengangkat sumpah pada pukul 2.28 petang.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Pelantikan Ahli Parlimen Bera itu adalah bagi mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri kelapan pada 16 Ogos lepas susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Ia berikutan penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin, yang merupakan Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Parti Bersatu.

Advertisements

Turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ismail Sabri, 61, yang memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam bersulam benang warna keemasan diiringi isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

Upacara itu turut disaksikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Muhyiddin dan Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan dua bekas Perdana Menteri yang turut menghadiri majlis tersebut selaian ketua-ketua parti politik antaranya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Upacara itu diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan