31 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Hanya Agong boleh tentukan kedudukan Muhyiddin selaku PM

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada masih Perdana Menteri yang sah atau sebaliknya hanya ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pengamal undang-undang, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, walaupun benar Ahli Parlimen Pagoh itu telah hilang sokongan majoriti, pemimpin politik hanya bercakap di luar institusi berkenaan.

“Jadi walaupun benar Muhyiddin telah hilang sokongan majoriti, kita semua hanya boleh buat bising sekadarnya sahaja di luar ini.

“Terpulanglah kepada baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menyelesaikan kemelut ini. Selagi baginda tidak melantik Perdana Menteri baharu, Muhyiddin masih Perdana Menteri yang sah setakat 4 Ogos 2021,” katanya menerusi twitternya hari ini.

Menurut beliau, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa melantik Perdana Menteri dan mengarahkan diadakan pilihan raya umum dan perkara itu tidak boleh dipaksa atau dicabar di mahkamah.

“(Ini) kerana baginda mempunyai empat hak prerogatif mengikut Perkara 40 (2) Perlembagaan untuk bertindak atas budi bicara baginda iaitu untuk melantik Perdana Menteri, memperkenankan permintaan pembubaran Parlimen, untuk memanggil mesyuarat Majlis Raja-raja dan dalam apa-apa perkara lain yang terkandung dalam Perlembagaan,” katanya.

MOHD KHAIRUL AZAM ABDUL AZIZ

Khairul Azam yang juga Naib Presiden PUTRA berkata demikian bagi mengulas kemelut politik yang melanda negara pada masa kini.

Ini ekoran penarikan balik sokongan UMNO terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin selaku Perdana Menteri sepertimana diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi parti petang semalam.

Beliau berkata, perkara itu sudah dijangka berlaku setelah kenyataan media Istana Negara yang menyampaikan dukacita Yang di-Pertuan Agong terhadap kerajaan susulan pengumuman pembatalan ordinan darurat yang dikatakan dibuat tanpa perkenan baginda pada 29 Julai lalu.

Katanya, ekoran kenyataan Istana Negara itu, besar kemungkinan ahli-ahli Parlimen akan menzahirkan tidak lagi percaya kepada kepimpinan Muhyiddin dan anggota Kabinet dan diminta meletakkan jawatan.

Semalam, Zahid mendakwa mempunyai cukup akuan daripada ahli-ahli Parlimen UMNO untuk membolehkan kerajaan PN hilang majoriti dan kedudukan Muhyiddin sebagai ketua kerajaan terbatal.

Sebelum itu, media melaporkan seramai 30 anggota Parlimen UMNO telah menandatangani surat akuan menyokong Muhyiddin untuk kekal sebagai Perdana Menteri. – Edisi 9

Terkini

MQA saran IPT lahirkan lebih ramai profesor praktis

KUALITI pendidikan tinggi negara akan terus meningkat dengan melahirkan lebih ramai 'professor of practice' atau profesor praktis. Ketua Pegawai Eksekutif...

Lagi Artikel Berkaitan