31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Apa muslihat Zahid mahu RCI siasat dakwaan Peguam Negara?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh MOHD SIDDIQ AZANI

SECARA tiba-tiba Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi mahu satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara dan badan Kehakiman.

Umum pengetahuan, Presiden UMNO sendiri dan beberapa rakan lain sedang berdepan dengan beberapa pertuduhan di mahkamah, termasuklah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sudah pun didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada Julai tahun lalu.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau kini dalam proses rayuan di Mahkamah Rayuan.

Zahid pula sedang berdepan dengan puluhan tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi beliau.

Segala bukti dan keterangan sudah pun dikemukakan oleh pihak pendakwaan dengan begitu teliti dan cermat sekali. Ia turut dilaporkan dalam media tempatan dan antarabangsa.

Zahid perlu menyedari hakikat ini. Adalah tidak masuk akal untuk menimbulkan persepsi bahawa kes-kes mahkamah yang sedang dihadapi beliau dan rakan-rakannya merupakan satu campur tangan politik.

Advertisements

Adakah beliau mahu memberi gambaran bahawa beliau dianiaya oleh sistem perundangan kita?

Jika benar terdapat campur tangan politik dalam badan kehakiman atau pun dalam Jabatan Peguam Negara, bagaimana Zahid boleh jelaskan beberapa keputusan mahkamah yang memihak kepada UMNO sejak setahun yang lalu?

Pada 20 Mei 2021, mahkamah memulangkan semula wang berjumlah RM114 juta yang disita polis di Pavilion Residence pada 17 Mei 2018, yang didakwa milik Najib dan UMNO, kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

Pada 3 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan 16 bekas ahli UMNO untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi perisytiharan UMNO sebagai tidak sah kerana kononnya melanggar perlembagaan.

Adakah badan kehakiman hanya ‘adil’ apabila keputusan memihak kepada UMNO atau Najib dan ‘berat sebelah’ apabila tidak memihak kepada mereka?

Jika ini persepsi yang ingin ditimbulkan, ia amat tidak sihat dan ia menghina integriti para hakim kita.

Saya cadangkan lebih baik Zahid fokus kepada perbicaraan beliau di mahkamah dan segerakan proses ini kerana mahkamahlah merupakan medan paling sesuai untuk membuktikan kebenaran berpihak kepada beliau.

Jika kes ini sering tertangguh, saya khuatir ia akan melewat-lewatkan keadilan buat Zahid sendiri.

  • Penulis adalah Pengerusi Biro Undang-Undang Armada Bersatu Malaysia. Artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan