25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Terima kasih atas sokongan Presiden UMNO – Ismail Sabri

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan rasa terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas sokongan beliau sehingga dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Menteri Pertahanan itu turut menzahirkan rasa yang sama kepada seluruh kepimpinan partinya.

“Pada masa yang sama, saya ingin menzahirkan rasa terima kasih atas sokongan Presiden UMNO, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan seluruh kepimpinan parti.

“Terima kasih juga kepada Ahli-Ahli Parlimen, pemimpin-pemimpin parti politik dan seluruh rakyat Malaysia. Ini merupakan amanah yang perlu digalas dengan ikhlas dan jujur demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri di samping kekal sebagai Menteri Pertahanan.

Ini sekali gus menjadikan Ahli Parlimen Bera itu sebagai Timbalan Perdana Menteri pertama dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Manakala Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

Beliau juga bertanggungjawab mengetuai Kluster Keselamatan selain membantu Perdana Menteri dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

Sementara itu, Ismail Sabri tidak melupakan ucapan penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi kepercayaan kepada beliau menduduki kerusi nombor dua dalam kerajaan itu.

“Lantikan ini bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya adalah amanah dan tanggungjawab yang berat khususnya ketika kita menghadapi Pandemik COVID-19 dan dalam usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Doa saya semoga kita semua tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik dapat bersama-sama membawa Malaysia mencapai masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.

Majlis Tertinggi UMNO dikatakan akan mengadakan mesyuaratnya malam ini yang antara lain bagi membincangkan isu penarikan balik sokongan parti itu terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sejak beberapa hari lalu isu tersebut hangat diperkatakan malah dilaporkan Ahmad Zahid telah mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen UMNO yang mempunyai jawatan dalam kerajaan mahupun syarikat milik kerajaan (GLC).

Pertemuan itu bagi memutuskan kedudukan UMNO dalam kerajaan namun dilaporkan usaha itu ditolak oleh ahli-ahli Parlimen berkenaan. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan