36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tajuddin gugur, Tok Mat Pengarah Pilihan Raya UMNO

Mesti Baca

CYBERJAYA – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Tan Sri Tajuddin Abdul Rahman hari ini digugurkan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO Malaysia berkuat kuasa serta-merta.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tugas tersebut kini digalas oleh Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga Pengerusi War Room Barisan Nasional (BN).

“Penstrukturan semula Jabatan Pilihan Raya UMNO ini bagi memperkukuhkan organisasi di setiap peringkat parti dan akar umbi,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, dengan kedudukan Mohamad sebagai Timbalan Pengerusi BN, ia akan memudahkan proses membuat keputusan dalam soal persiapan pilihan raya yang melibatkan semua parti-parti komponen.

Pengguguran Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak itu dipercayai ada kaitan dengan isu penarikan balik sokongan UMNO terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Bekas Pengerusi Prasarana Berhad itu sebelum ini dikatakan antara tiga MT UMNO yang tidak bersetuju dengan usul penarikan sokongan tersebut dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti beberapa hari lalu.

Dalam satu rakaman audio yang tular, Tajuddin lantang mengkritik keputusan parti kerana ia dianggap tidak kena pada masanya.

“Rakaman audio tular itu benar. Kalau saya tidak ulas, nanti macam-macam orang cakap.

“Saya membuat penjelasan panjang lebar dan mempersoalkan keputusan MKT UMNO kerana sekarang bukan timing (masanya) sesuai untuk UMNO keluar kerajaan PN.

“Hal ini disebabkan kerajaan PN sedang bertungkus-lumus untuk menangani masalah Covid-19 serta kesusahan rakyat. Waktu sekarang sepatutnya jangan kita sibuk hendak jatuhkan kerajaan kerana rakyat tengah susah dan mereka tidak puas hati dengan orang politik,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Tajuddin dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO pada November tahun lalu. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan