25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Rakyat jangan terpengaruh pihak tangguk air keruh

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Rakyat dinasihatkan jangan terpengaruh dengan pihak yang cuba menangguk di air yang keruh untuk kepentingan peribadi dan menyelamatkan diri.

Ketua penerangan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) berkata, taktik kotor yang dilakukan termasuk mencipta berita palsu dan mengeksploitasi situasi semasa melalui media sosial.

Sehubungan itu, mereka menyeru seluruh lapisan rakyat dan semua pihak agar meneliti siri penjelasan yang diberikan oleh kerajaan mengenai situasi terkini.

“Rakyat mesti peka dengan gerak kerja yang tidak bertanggungjawab ini, dan sentiasa merujuk kepada sumber-sumber yang sahih untuk mengetahui situasi yang sebenar,” kata mereka dalam kenyataan bersama, hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Ketua Penerangan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad; Ketua Penerangan, Parti Maju Sabah (SAPP), Chin Vui Kai; Ketua Penerangan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kumin dan Ketua Penerangan Gerakan, Koo Shiaw Lee.

Turut memberi kenyataan, Ketua Penerangan MIC, Datuk V Gunalan; Pengerusi Biro Penerangan MCA, Chan Quin Er; Setiausaha Penganjur Kebangsaan, Parti Demokratik Progresif (PDP), Yong Li Na; Ketua Penerangan, Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Julita Majungki; Ketua Penerangan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Idris Buang; Ketua Penerangan, Parti Rakyat Sarawak, Datuk Idris Buang dan Setiausaha Publisiti dan Penerangan Pusat, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Wilfred Nissom.

Mereka turut menyeru supaya tumpuan dikembalikan kepada usaha menjaga kesihatan rakyat dan membina semula ekonomi negara melalui pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah dirangka oleh kerajaan. 

“Sebagai jentera penerangan parti-parti dalam kerajaan, kami berikrar untuk terus membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pucuk pimpinan semua parti menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, terutamanya dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat,” jelas mereka.

Pada masa yang sama, kesemua mereka menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seperti yang dizahirkan baru-baru ini.

“Titah Tuanku memperlihatkan iltizam baginda mahu memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga,” kata mereka.

Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti-parti dalam kerajaan serta Ahli-ahli Parlimen yang telah dengan tuntas menyatakan sokongan kepada Muhyiddin serta Kabinetnya untuk terus memimpin negara mendepani cabaran COVID-19.

“Ini adalah keutamaan sebenar negara pada waktu ini, demi kebaikan rakyat keseluruhannya,” jelas mereka. – EDISI 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan