31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pemuda UMNO kemuka 5 langkah perkasa urus tadbir TH

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Pemuda UMNO Malaysia menggariskan lima cadangan bagi memperkasa tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH) tanpa mengorbankan asa dan matlamat penubuhannya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu boleh dilaksanakan sekiranya aspek tadbir urus yang menjadi pertimbangan kerajaan meletakkan TH di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata, langkah pertama diambil ialah membahagikan TH kepada dua sektor iaitu Sektor Pengurusan Dana serta Sektor Operasi Pengurusan Haji.

“Sektor Pengurusan Dana yang bertanggungjawab menguruskan wang simpanan bakal haji dan ditadbir secara profesional oleh pihak pengurusan dana yang bertauliah dan berlesen mengikut garis panduan dan peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Sektor Operasi Pengurusan Haji yang bertanggungjawab sepenuhnya perihal pengendalian kebajikan dan urusan Jemaah haji daripada aspek sebelum menunaikan haji (kursus, dokumentasi) sehinggalah pengurusan manasik haji sepanjang berada di Tanah Suci yang menjadi kelebihan dan kepakaran utama TH sejak awal penubuhan,” katanya semalam.

Asyraf berkata, pembahagian kedua-dua sektor itu bagi memastikan mereka yang mengurus dan membelanjakan dana adalah daripada dua entiti yang berbeza.

Katanya, langkah ini dapat meningkatkan lagi tahap keberkesanan dan kecekapan tadbir urus korporat TH.

“Lembaga TH adalah badan induk yang mengawal kedua-dua sektor ini dengan lembaga pengarah dan pengurusannya masing-masing dan tidak boleh berlaku pertindihan personaliti mahupun tanggungjawab.

“Ini memastikan wujud kemandirian (independence) antara dua sektor yang terlibat dengan pengurusan dana dan penggunaan dana dalam bentuk operasi haji,” kata beliau.

Asyraf berkata, pemilihan ahli lembaga TH dan lembaga pengarah kedua-dua sektor tersebut boleh dilakukan oleh sebuah jawatankuasa Parlimen yang bertindak memilih calon-calon yang benar-benar berkelayakan, profesional dan mempunyai kepakaran khusus yang diperlukan mengikut keperluan aktiviti perniagaan yang TH terlibat.

Katanya, pemilihan ahli lembaga TH dan lembaga pengarah tersebut mesti bebas daripada mereka yang berjawatan dalam mana-mana parti politik.

“Amalan ini boleh diambil manfaat daripada Garis Panduan Tadbir Urus Institusi Kewangan oleh BNM yang mensyaratkan antara kriteria Ahli Lembaga Pengarah Bank tidak boleh menjawat jawatan parti politik.

“Seharusnya apa jua tindakan untuk memperkemaskan dan menambah baik aspek tadbir urus TH mestilah bersandarkan kefahaman holistik mengenai tabii dan sifat organisasi tersebut yang unik dan istimewa.

“Ini bagi mengelakkan sebarang pendekatan simplistik yang dilihat terburu-buru hingga bakal mengorbankan matlamat penubuhan TH yang selama zaman Barisan Nasional menunjukkan prestasi kewangan yang amat baik dan diyakini oleh rakyat,” kata beliau. – Edisi 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan