29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Parti MUDA Johor desak Syed Saddiq bercuti

Mesti Baca

CYBERJAYA – Parti MUDA Johor hari ini mendesak Presiden Penaja Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agak bercuti daripada jawatan itu sehingga kes mahkamahnya selesai.

Parti MUDA Johor menerusi twitternya berkata, langkah itu bagi membuktikan kepada rakyat bahawa pimpinan parti itu berprinsip dan tidak seperti pemimpin parti lain yang masih mengekalkan jawatan walaupun mempunyai kes mahkamah.

“Kami mendesak agar Presiden Penaja Parti MUDA bercuti sementara sehingga kes beliau selesai di mahkamah.

“Ini bagi membuktikan kepada rakyat bahawa pimpinan parti ini berprinsip dan tidak seperti pemimpin parti lama, yang masih kekal jawatan walaupun ada kes mahkamah,” kata parti itu.

Parti MUDA Johor berkata, ramai pemimpin dalam parti itu mampu memangku jawatan tersebut secara sementara sehingga kes mahkamah Syed Saddiq selesai.

Semalam, Ahli Parlimen Muar itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Advertisements

Memetik laporan media, Syed Saddiq, 29, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Syed Saddiq meninggalkan Bersatu selepas Langkah Sheraton pada Februari tahun lalu dan menubuhkan parti MUDA yang sehingga kini belum diluluskan pendaftarannya oleh Pejabat Pendaftar.

Syed Saddiq sebelum itu mendakwa beberapa kali diugut agar menyokong Perikatan Nasional jika tidak mahu dia menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Beliau mendakwa pertuduhan yang dihadapi itu ada kaitan dengan sidang Parlimen yang akan berlangsung minggu depan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan