26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

MoU pekhidmat domestik Indonesia sedang dimuktamadkan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan memorandum persefahaman (MoU) pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) di Malaysia sedang dalam proses dimuktamadkan.

KSM berkata, isu ‘one channel system (sistem saluran tunggal)’ dan konsep ‘one maid one task (seorang pembantu rumah satu tugas)’ adalah antara perkara dibincangkan pada Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal antara Malaysia dan Indonesia semalam.

Menurutnya, antara isu lain dibincangkan termasuk gaji PDI dan hal kebajikan serta perlindungan pekerja migran Indonesia di Malaysia.

“Konsep ‘one channel system’ diberikan penekanan bagi memastikan saluran kemasukan pekhidmat domestik Indonesia secara teratur dan lebih telus dari Indonesia terutamanya dari aspek gaji dan pemeriksaan kesihatan.

“Malaysia dan Indonesia secara dasarnya bersetuju untuk melaksanakan integrasi sistem sedia ada di kedua-dua negara bagi melaksanakan ‘one channel system’,” katanya menerusi kenyataan media di sini.

Dalam pada itu, KSM berkata, Malaysia juga telah mengemukakan cadangan balas berhubung isu ‘one maid one task’ di mana bilangan isi rumah diambil kira contohnya enam orang ahli isi rumah bagi satu PDI.

Menurut KSM , cadangan ‘one maid one task’ itu telah dikemukakan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan ketika sesi perbincangan secara maya dengan rakan sejawatnya, Menteri Tenaga Kerja Republik Indonesia Ida Fauziyah pada Mei lalu.

“KSM prihatin dengan keperluan mendesak masyarakat agar isu pembantu rumah dapat ditangani dengan secepat mungkin,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) memohon untuk dipercepatkan pemeteraian MoU PDI.

Perkara itu dimaklumkan Jokowi kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Jakarta pada Februari lalu.

MoU PDI ini telah ditandatangani buat pertama kalinya pada 13 Mei 2006 di Bali, Indonesia.

Susulan daripada itu, Protokol Meminda MoU PDI telah ditandatangani pada 31 Mei 2011 di Bandung, Indonesia yang telah tamat pada 30 Mei 2016.-Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan