29.8 C
Kuala Lumpur
Monday, September 20, 2021

Bekas pegawai kanan SPRM jawab kenyataan Syed Saddiq

Mesti Baca

CYBERJAYA – Setiap siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah berdasarkan akta  diperuntukkan di bawah undang-undang tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

Sehubungan itu, bekas Pegawai Kanan SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob berkata, sesiapapun yang sedang menghadapi pertuduhan rasuah harus mempertahankan diri di mahkamah tanpa menjadikan agensi itu sebagai ‘kambing hitam’ atau mempunyai agenda politik.

‘’Yakin dan percaya masyarakat makin dewasa, SPRM tidak ada agenda politik dalam menyiasat kes-kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa melibatkan sesiapa sahaja sama ada individu tersebut pemimpin atau tokoh tertentu,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Rohaizad mengulas kenyataan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam Facebook di mana Ahli Parlimen Muar itu yakin  tidak melakukan kesalahan dan tidak puas hati kerana mendakwa telah diperlakukan dengan ‘tidak adil’.

Rohaizad berkata, sebelum Syed Saddiq, tokoh politik lain yang turut disiasat seterusnya didakwa ialah bekas Setiausaha Agung DAP merangkap bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mana kes mereka sedang dibicarakan di mahkamah.

Selain itu, tokoh politik lain yang turut disiasat oleh SPRM adalah Ahli Parlimen Putrajaya yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ; bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad;

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa; Naib Presiden PKR, Dr. Xavier Jayakumar; Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad; Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap bekas Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan. Jadi, tidak timbul motif politik dalam kes-kes ini.

Baca juga:   Kartel tender kerajaan: KSN kesal, ambil tindakan tegas
Baca juga:   7 anggota sindiket jual setem hasil, PLKS ditahan SPRM

Rohaizad menegaskan,  semua pihak harus menghormati fungsi SPRM sebagai sebuah badan bebas dalam mengendalikan kes-kes rasuah.

‘’Benar di negara kita, semua bebas bersuara, sesiapa yang mahu memberi ulasan atau komen terhadap sesuatu kes mahkamah seharusnya menjurus ke arah penambahbaikan, bukannya secara melulu.

‘’Masing-masing apabila buat komen, kebanyakannya adalah subjudis kepada sesuatu perbicaraan. Perlu diingatkan, kalau kes yang telah dikemukakan mahkamah, ia bukan kuasa SPRM. SPRM hanya badan penyiasat, penyiasatan kita bebas daripada pengaruh mana-mana pihak,’’ katanya.

Beliau berkata, siasatan yang dijalankan oleh SPRM adalah profesional dan tidak pernah berpandukan kepada fitnah atau tohmahan semata-mata. 

‘’Setelah siasatan selesai dan kertas siasatan lengkap dengan bukti-bukti kukuh, barulah ia dibawa Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan.

‘’Biar mahkamah menentukan dan menjatuhkan hukum sama ada fitnah atau sebaliknya. Mahkamah akan buat keputusan berdasarkan bukti yang dikemukakan. Jika benar tidak bersalah, tidak perlu takut.

‘’Tanggungjawab SPRM hanya menjalankan siasatan berdasarkan maklumat atau aduan yang diterima dan pertuduhan atau keputusan kes adalah bergantung kepada mahkamah, selaras dengan sistem pengasingan kuasa iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman,’’ katanya.

Oleh yang demikian tegas beliau, tidak timbul isu fitnah atau tidak adil kerana SPRM tidak akan campur tangan dalam mana-mana perkara di luar bidang kuasa agensi itu dan hanya menjalankan tugas seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Baca juga:   Banyak nyawa jadi taruhan jika doktor kontrak mogok

Mengulas lanjut, Rohaizad berkata, masyarakat atau mana-mana pihak boleh lihat semula atau menyemak track record SPRM dalam siasatan atau pertuduhan terhadap ahli politik menerusi laporan media.

‘’Buktinya, kedua-dua belah ahli politik sama ada kerajaan ataupun pembangkang tetap akan disiasat oleh SPRM jika disyaki terlibat dalam siasatan kes rasuah. Malah, SPRM juga pernah mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sudah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

Baca juga:   PAS, UMNO hampir pasti tak bertembung pada PRU-15

‘’Tohmahan menyatakan SPRM sebagai alat politik ini menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap suruhanjaya tersebut. Sepatutnya sebagai rakyat yang bertanggungjawab dan ikhlas memerangi rasuah, mereka perlu memberi sokongan kepada SPRM dengan sepenuh hati,’’ katanya.

Beliau berkata, siasatan SPRM terhadap sesiapa sahaja yang didapati terlibat dalam kes-kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa menunjukkan kematangan dalam menjalankan tugas dengan perkara ini (siasatan SPRM).

Dalam masa sama, kata beliau, SPRM tidak pernah patuh kepada mana-mana arahan politik kerana SPRM adalah berkecuali sebaliknya hanya melakukan siasatan dan keputusan untuk membuat pendakwaan bergantung kepada pejabat Peguam Negara. 

Terkini

Mengisi semangat patriotisme selepas 16 September

Oleh MOHD ZAINI OTHMAN MERIAH di corong radio memainkan lagu Tanggal 31 Ogos dendangan Allahyarhan Sudirman Hj Arshad serta lagu-lagu...

Lagi Artikel Berkaitan