29.8 C
Kuala Lumpur
Monday, September 20, 2021

Ke mana UMNO jika tarik sokongan kepada kerajaan?

Mesti Baca

Editor
Editor Edisi 9

PENULIS kagum dengan keberanian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang secara tegas melalui Facebooknya menyatakan,”Saya orang pertama akan menentang kalau parti nak menyokong Anwar sebagai PM atau mewujudkan Kerajaan DAP-PH Lead Government.”

Kenyataan itu datang tepat waktunya ketika UMNO dijangka membuat perhitungan terakhir malam esok dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berhubung keputusan untuk menarik diri daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setakat ini ahli-ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kerajaan menentang tindakan itu tetapi ia tidak bermakna segelintir pemimpin UMNO akan menghentikan agenda mereka.

Persoalannya, apa akan berlaku jika MT UMNO membuat keputusan menarik sokongan kepada Kerajaan PN? Adakah majoriti ahli-ahli Parlimen UMNO akan terus mempertahankan pendirian mereka terus bersama kerajaan?

Apakah ia akan membuka laluan kepada jajaran baharu yang dikaitkan dengan usaha untuk membentuk kerajaan bersama PKR yang pasti harus melibatkan DAP? Atau UMNO ingin mendesak supaya Kerajaan Interim ditubuhkan? Atau UMNO mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan?

Sebenarnya bukan kata Asyraf Wajdi malah ramai lagi pemimpin dalam UMNO termasuk bertaraf pemimpin kanan menentang sebarang usaha menjalin hubungan dengan Anwar dan PKR.

Seorang pemimpin kanan pernah memberitahu seseorang bahawa beliau lebih rela bersara daripada politik daripada berkerjasama dengan Anwar.

Manakala seorang lagi pemimpin kanan berpengaruh dalam UMNO berkata, beliau sama sekali tidak boleh menerima Tun Dr. Mahathir Mohamad, Anwar dan DAP.

Pada masa sama, ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi pasti menentangnya kerana mereka tahu kalau bekerjasama dengan PKR maknanya PKR akan membawa DAP. Selain itu adakah dengan mewujudkan jajaran politik tersebut ia akan menguntungkan politik UMNO?

Baca juga:   PdPR 5 negeri Fasa 2 hingga cuti pertengahan penggal
Baca juga:   Kalimah Allah: Wanita UMNO, Muslimat PAS gesa kerajaan rayu

Penulis percaya majoriti ahli UMNO akan menentang agenda jajaran baharu ini dan sewajarnya UMNO tidak boleh sama sekali membiarkan ia berlaku. Tindakan mewujudkan jajaran baharu tersebut hakikatnya, perbuatan menghancurkan perjalanan politik UMNO.

Atas sebab itu sepatutnya lebih ramai pemimpin UMNO bangkit dan menyatakan pendirian mereka secara terbuka menolak sebarang usaha menjalin hubungan dengan Anwar, PKR apatah lagi DAP.

Janganlah kerana tidak suka Bersatu dan berdendam dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, ada pemimpin UMNO mahu korbankan parti dengan membuat gerakan politik yang membinasakan itu.

Sepatutnya mana-mana pemimpin yang cenderung ke arah pembentukan jajaran baharu ditolak lebih awal. Jika ada bukti sahih, mereka harus dikenakan disiplin tidak kira apapun jawatan yang mereka sandang.

Ia kerana apa yang dilakukan boleh menyebabkan UMNO berpecah-belah dan paling buruk orang Melayu yang selama ini menjadi penyokong setia UMNO akan menolak parti itu pilihan raya nanti.

Boleh sahaja pemimpin yang menyokong jajaran baharu ini ‘bertepuk dan berpesta’ jika UMNO menarik sokongan kepada Kerajaan PN tetapi percayalah kegembiraan itu akan menjemput petaka kepada politik UMNO dalam pilihan raya umum nanti.

Bagaimana pula jika ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan terus mempertahankan pendirian mereka? Adakah MT UMNO akan memecat mereka?

Jumlah mereka bukan kecil dan paling penting, mereka memiliki kerusi Parlimen yang boleh menentukan sama ada UMNO ‘masih laku atau tidak’ untuk berunding dengan parti-parti lain kalau mahu menubuhkan kerajaan. Penulis yakin kesemua mereka tidak akan menerima sama sekali jajaran baharu, apatah lagi kalau ada tempias harus bekerjasama dengan DAP. 

Justeru, apa kepemimpinan UMNO mahu buat? Dan adakah pembentukan jajaran baharu ini akan mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan? Adakah kem Dr. Mahathir akan bersetuju? Adakah parti-parti Sarawak akan menyokong?

Kalau begitu ke mana UMNO selepas hilang kuasa, dipanggil untuk sama-sama berkuasa kemudian bertindak melepaskan kuasa? Apakah mahu membuat tuntutan boleh terus berada dalam kerajaan PN tetapi tidak mahu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri? Congak politik apakah itu? Adakah Bersatu akan bersetuju?

Baca juga:   Rakyat risau Covid, dia pula asyik Najib, Najib, Najib…
Baca juga:   Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 turun lebih 50% di HTAR

Kalau nak minta Kerajaan Interim, adakah UMNO akan terima tokoh yang dilantik? Dan sejauh mana mereka yakin  tuntutan  mereka dalam isu Covid-19 diterima oleh PM interim tersebut? Apakah kalau tak diterima, UMNO nak desak pula bubar Parlimen, pilihan raya diadakan?…pening… 

Sebenarnya dalam keadaan negara masih berperang dengan Covid-19 dan tumpuan penuh  patut diberikan kepada ‘peperangan’ ini apatah lagi dengan sekurang-kurangnya tiga menteri daripada UMNO menjadi ‘panglima perangnya’, kepemimpinan UMNO tidak sewajarnya mencetuskan kekalutan politik.

Lagi pula tuntutan 14 hari oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung sidang Parlimen sudah pun dipenuhi semalam, jadi kenapa perlu lagi mahu terus berpolitik. 

Sementara penulis mengambil ketegasan Asyraf Wajdi sebagai isyarat bahawa perancangan jajaran baharu tidak akan ke mana namun ia sama sekali tidak mampu menutup ‘kejahilan’ segelintir pemimpin UMNO mencetuskan pertikaian politik ketika pandemik Covid-19.

  • Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Mengisi semangat patriotisme selepas 16 September

Oleh MOHD ZAINI OTHMAN MERIAH di corong radio memainkan lagu Tanggal 31 Ogos dendangan Allahyarhan Sudirman Hj Arshad serta lagu-lagu...

Lagi Artikel Berkaitan