25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

151,729 rakyat B40 tak tahu hidap penyakit berjangkit

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Seramai 151,729 rakyat kumpulan B40 iaitu 33 peratus daripada 457,462 penerima Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang menjalani saringan kesihatan di bawah skim tersebut baru dikesan menghidapi sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, data yang membimbangkan itu adalah berdasarkan Laporan PeKa B40 2019-2020 yang dilancarkan hari ini.

Menurut beliau, jumlah itu melibatkan kumpulan B40 yang sebelum ini tidak pernah mengetahui mereka menghidapi penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis (10.4 peratus), kolesterol tinggi (29.8 peratus), darah tinggi (13.8 peratus), masalah mental seperti kemurungan (1.6 peratus) dan keresahan (1.4 peratus) selain daripada masalah obesiti dan sebagainya.

“Sebelum menjalani saringan kesihatan PeKa B40, mereka tidak pernah menjalani saringan kesihatan seumpanya, apatah lagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Skim PeKa B40 yang diuruskan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) iaitu anak syarikat tidak berasaskan keuntungan milik penuh Kementerian Kesihatan memberi empat manfaat iaitu Saringan Kesihatan, Bantuan Alat Perubatan sehingga RM20,000, Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser berjumlah RM1,000 dan Insentif Tambang Pengangkutan sehingga RM1,000.

Skim itu memberi fokus kepada penyakit tidak berjangkit dan percuma kepada semua penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) / Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta pasangan mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas.

Dr Adham menambah, sebanyak RM62.5 juta telah dibelanjakan bagi tempoh 15 April 2019 hingga 31 Disember 2020 untuk membiayai skim itu yang bertujuan membuat pengesanan awal terhadap penyakit tidak berjangkit rakyat kumpulan B40.

Beliau memberitahu, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM38.5 juta dibelanjakan untuk manfaat Saringan Kesihatan yang meliputi pengambilan sejarah kesihatan, pemeriksaan fizikal, saringan kesihatan mental, pemeriksaan kanser payudara dan prostat, serta ujian air kencing dan darah.

“Saringan kesihatan PeKa B40 ini dilakukan di klinik swasta dan juga klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara,” jelasnya.

Dr Adham berkata, bagi manfaat Bantuan Alat Perubatan, sebanyak RM20.9 juta dibelanjakan bagi membiayai permohonan 10 jenis alat perubatan iaitu stent untuk jantung, alat sendi tiruan, alat bantuan pendengaran, perentak jantung, prostesis dan implan untuk tulang belakang, prostesis dan ortosis tulang anggota, kanta mata untuk pesakit katarak, alat terapi pernafasan dan oxygen concentrator, bantuan sokongan nutrisi, dan kerusi roda.

Menurut beliau, melalui kepakaran dalam melakukan pembelian strategik, ProtectHealth telah berjaya menjalankan rundingan harga bagi Drug Eluting Stent (DES) bagi penerima PeKa B40 sekali gus menghasilkan penjimatan wang kerajaan melebihi RM10 juta.

Tambah Dr Adham, menerusi manfaat Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser yang diwujudkan bagi menggalakkan penghidap kanser melengkapkan rawatan yang ditetapkan, sejumlah RM1.6 juta telah dibelanjakan.

Advertisements

“Manakala manfaat Insentif Tambang Pengangkutan untuk meringankan beban perbelanjaan kos perjalanan bagi mendapatkan rawatan melibatkan dua manfaat PeKa B40 (Bantuan Alat Perubatan dan Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser), sebanyak RM1.5 juta telah dibelanjakan bagi tempoh sehingga 31 Disember 2020,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, ProtectHealth merupakan syarikat unggul yang berjaya melakukan pembelian perkhidmatan kesihatan daripada sektor swasta menerusi skim PeKa B40 dan terkini penglibatan pengamal perubatan swasta dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Dr Adham berkata, kerjasama awam-swasta yang dijalin dengan 2,112 pengamal perubatan am swasta dan 182 makmal perubatan swasta yang terlibat dengan PeKa B40 dilihat sebagai wadah yang mampu memantapkan lagi sistem penjagaan kesihatan negara dengan penglibatan pelbagai pihak.

Menurut beliau, ProtectHealth turut menghargai penglibatan pengamal perubatan am swasta, klinik kesihatan kerajaan, dan hospital kerajaan dalam pelaksanaan PeKa B40 menerusi penganugerahan empat kategori seperti berikut:

  1. Kategori Saringan Kesihatan Tertinggi – (Klinik Kesihatan) Klinik Kesihatan Beseri, Perlis
  2. Kategori Saringan Kesihatan Tertinggi – (Klinik Swasta) Klinik Sri Balung, Sabah
  3. Kategori Pengendalian Permohonan Bantuan Alat Perubatan Tertinggi – Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah
  4. Kategori Pengendalian Permohonan Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser Tertinggi – Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Dr Adham memberitahu, PeKa B40 dilihat sebagai inisiatif kerajaan dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan di Malaysia dalam aspek penjagaan kesihatan jangka panjang.

“Justeru, dalam menyebarluaskan maklumat berkaitan PeKa B40 ini, ProtectHealth memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak.

“Ini termasuk kementerian-kementerian lain, agensi kerajaan, pihak swasta, NGO, media, dan sebagainya.

“Di samping rakan promosi PeKa B40 sedia ada, ProtectHealth akan menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) bagi menawarkan penggiat seni tanah air dengan manfaat-manfaat PeKa B40,” jelasnya.

Selain itu, kata beliau, ProtectHealth juga akan bekerjasama dengan MedTweetMY iaitu portal rasmi gabungan para doktor dan petugas kesihatan di Twitter untuk berkongsi maklumat berkaitan PeKa B40.

“Kementerian Kesihatan dan ProtectHealth amat berharap agar lebih ramai rakyat kumpulan B40 akan mendapat manfaat daripada skim ini demi memastikan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit dapat dilakukan seterusnya mengelakkan komplikasi rawatan di masa hadapan,” katanya.

Laporan penuh PeKa B40 2019-2020 boleh dimuat turun di laman sesawang www.protecthealth.com.my. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan