30.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Bank Makanan Kg Tamau ringankan beban penduduk

Mesti Baca

Oleh MOHD AZRONE SARABATIN

KOTA BELUD – Pemimpin Masyarakat Kampung Tamau di sini mengambil pendekatan komprehensif menyediakan Bank Makanan untuk membantu meringankan bebanan keluarga yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kesan pandemik COVID-19.

Ketua Kampung Tamau, Razak Rakunman berkata Konsep Bank Makanan itu adalah mengumpulkan dana untuk membeli bahan makanan atau menerima barangan makanan daripada penyumbang untuk diberikan kepada orang ramai secara percuma.

Katanya, bahan makanan disediakan termasuk beras, gula, tepung, sayur, ikan kering, minyak masak dan lain-lain keperluan asas.

Tamau
Antara bahan makanan disediakan di Bank Makanan di hadapan Walai Tanu, Kampung Tamau, Kota Belud. – Gambar: Razak Rakunman

Beliau berkata, penduduk kampung bergotong-royong membina pondok dijadikan `Bank Makanan’ di hadapan Walai Tanu, Kampung Tamau bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan makanan.

“Alhamdulillah Bank Makanan Kampung Tamau telah dilancarkan pada 5 Julai 2021 dan sehingga kini ramai penduduk setempat dan sekitarnya mendapat manfaat daripada program ini.

“Insya-Allah Bank Makanan ini akan diteruskan untuk membantu masyarakat terkesan akibat pandemik COVID-19 sehingga PKP 3.0 dilonggarkan dan penduduk bebas keluar rumah mencari rezeki,” katanya.

Razak memberi jaminan, pihaknya sedang berusaha mencari dana tambahan, selain mengalu-alukan sumbangan daripada pihak yang prihatin untuk membantu meneruskan program berkenaan.

Pondok Bank Makanan Kampung Tamau di hadapan Walai Tanu, Kampung Tamau, Kota Belud. – Gambar: Razak Rakunman

Katanya, mereka yang mahu mendapatkan bekalan makanan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) 3.0 ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, semua penduduk kampung berkenaan dan sekitarnya boleh mengambil barangan harian mengikut keperluan keluarga masing-masing.

“Terima kasih tidak terhingga kepada semua dermawan yang turut menjayakan program ini. Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati amal ibadah kita semua,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Jarak bukan penghambat kemesraan menyambut Aidilfitri

Oleh DR AZMAWATY MOHAMAD NOR HARI Raya Aidilfitri merupakan peristiwa yang menggembirakan di mana ia adalah masa untuk keluarga dan...

Lagi Artikel Berkaitan