25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Akta 535 perlu dipinda jika mahu letak TH bawah seliaan BNM

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil alih Lembaga Tabung Haji (TH) untuk diletakkan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) sebaliknya perlu membuat pindaan terhadap Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Dr Mohd Sadad Mahmud berkata, jika akta tersebut perlukan pengharmonian, ia hendaklah dibawa ke Parlimen untuk dibincang dan diluluskan.

“TH mempunyai akta sendiri dan kalau diletakkan di bawah BNM, perlu ada perubahan pada akta tersebut yang memerlukan definasi semula asas penubuhan TH itu sendiri,” katanya kepada Edisi 9 hari ini.

Baru-baru ini Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan keputusan kerajaan meletakkan TH di bawah seliaan BNM bertujuan menambah baik pengurusan dan operasi secara menyeluruh.

Beliau berkata, langkah itu bagi melindungi kepentingan pendeposit dan memperkasakan kedudukan kewangan TH dalam memenuhi mandatnya selaras dengan amalan standard tadbir urus yang baik yang ditetapkan United Nations Convention Against Corruption (UNCAC).

MOHD SADAD MAHMUD

Katanya, TH merupakan institusi kewangan yang disifatkan sistemik dan saling berhubung rapat dengan sistem kewangan negara berikutan skala operasinya yang besar iaitu dari segi saiz deposit dan pelaburan.

“Ia meliputi mengurus sejumlah hampir RM82 bilion deposit pada suku kedua tahun 2021, merangkumi 10 peratus daripada jumlah deposit sistem perbankan Islam,” katanya.

Menurut Mohd Sadad, langkah itu akan menjadi isu dalam kalangan umat Islam terutama mereka yang mempunyai deposit dalam TH selama ini.

“(Kerajaan) perlu lihat semula akta penubuhan asal TH sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Tanpa pindaan Akta Tabung Haji, BNM tidak boleh sewenang-wenang mengambil TH begitu sahaja,” katanya.

Ditanya mengenai pengumuman oleh Tengku Zafrul, beliau berkata: “Biasalah orang politik, bercakap dahulu, fikir kemudian.” – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan