32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

49 suspek direman langgar SOP solat sunat Aidiladha

Mesti Baca

BUKIT MERTAJAM – Seramai 49 individu termasuk seorang rakyat tempatan direman antara tiga dan empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menunaikan solat sunat Aidiladha di luar pekarangan Surau Taman Pelangi, Juru, di sini semalam.

Memetik laporan BH Online, perintah reman terhadap mereka dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Hasliza Razak.

Seramai 48 suspek warga Bangladesh yang berusia antara 20 hingga 43 tahun direman empat hari bermula hari ini.

Pada masa yang sama, seorang suspek warga tempatan berumur 64 tahun direman tiga hari mulai hari ini.

Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan gerakan mengesan kira-kira 200 warga asing selepas dipercayai melanggar SOP dengan menunaikan solat di luar perkarangan sebuah surau.

Rakaman video tentang perbuatan mereka yang didakwa melanggar SOP berkaitan solat sunat Aidiladha seterusnya tular dalam media sosial.

Video berdurasi 22 saat yang tular itu memaparkan ratusan individu yang menunaikan solat sunat Aidiladha di jalan raya di luar pekarangan surau yang dirakamkan orang awam yang melalui kawasan terbabit.

Dalam video berkenaan kesemua individu terbabit solat dalam keadaan penjarakan fizikal, namun ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan negara kini dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, siasatan terperinci tentang pelanggaran SOP solat sunat Aidiladha itu dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.

Selain itu, kata beliau, Ketua Polis Pulau Pinang juga diminta untuk memberikan laporan serta penjelasan terperinci dengan segera berhubung penugasan anggota PDRM yang dipertanggungjawabkan untuk memantau pematuhan SOP di lapangan, terutamanya semasa Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan jaminan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat menganjurkan majlis tersebut dan mengarahkan Jabatan Imigresen untuk tidak teragak-agak mengambil tindakan pengusiran di bawah Akta Imigresen 1958/63 sekiranya ia membabitkan warga asing.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan