23.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, December 7, 2021

Calon Lembah Pantai: Qobin bidas Raja Nong Chik

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Bekas Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin tidak sepatutnya memainkan isu calon di Lembah Pantai di saat negara sedang berhadapan pandemik COVID-19 dan rakyat hidup sengsara.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, ini bukan masa untuk menentukan siapa calon atau siapa yang layak bertanding.

Beliau yang juga dikenali sebagai Qobin berkata, UMNO pada masa ini mesti bersama rakyat dan membantu mereka.

“Bahagian sudah bawa nama ke atas, sampai masa biarlah kepimpinan tertinggi UMNO putuskan siapa yang benar-benar layak,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Semalam, seperti dilaporkan media, Raja Nong Chik mengulas tentang peluang Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menang jika bertanding di kerusi Parlimen Lembah Pantai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Raja Nong Chik yang juga bekas menteri Wilayah Persekutuan menjelaskan, jika ada calon lain yang berkebolehan, beliau tidak bercadang untuk bertanding kali ketiga di kawasan Parlimen Lembah Pantai kerana mahu memberikan laluan kepada calon lebih muda dan berkelayakan.

Pada masa yang sama, Muhamad Muqharabbin bersedia untuk mewakili Barisan Nasional (BN) di Lembah Pantai sekiranya Raja Nong Chik ingin bertanding sebagai calon bebas.

“Sekiranya beliau masih meminta untuk meletakkan calon atau bertegas menjadi calon bebas, saya sedia berhadapan dan menawarkan diri untuk bertanding di Parlimen Lembah Pantai.

“Sekiranya pucuk pimpinan parti tidak mencalonkan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ramlan Askolani atau Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Tengku Zuhri Tengku Abdul Aziz atau Ketua Puteri UMNO Bahagian, Dr Masliha Harun sebagai calon UMNO di Lembah Pantai,” jelasnya.

Baca juga:   Asyraf Wajdi kongsi kisah kesengsaraan rakyat ketika ini

Walau bagaimanapun beliau menghormati cadangan Raja Nong Chik sebagai bekas Ketua Bahagian, Muhamad Muqharabbin kesal kerana Raja Nong Chik tidak berbincang dengan kepimpinan UMNO Bahagian Lembah Pantai terlebih dahulu sebelum bercakap kepada media.

Baca juga:   Majikan patut main peranan lebih besar bantu bakal pekerja

“Kami tahu beliau amat berjasa di Lembah Pantai, dan tahu perkembangan masa kini di sini, tetapi dengan memilih calon mengikut kehendak beliau tanpa berunding dan membelakangkan kami amatlah tidak patut,” jelasnya.

Tambahnya lagi, kenyataan beliau memilih untuk bertanding bebas juga melambangkan ketidaksetiaan kepada parti sekiranya ada calon luar yang dipilih oleh pucuk pimpinan.

Beliau menambah, Raja Nong Chik seharusnya mencadangkan calon dalam kalangan kepimpinan UMNO Bahagian Lembah Pantai.

“Sehubungan itu, saya berharap beliau tidak mendengar nasihat yang salah daripada orang yang berkepentingan, tanpa menghormati institusi parti dan bahagian.

“Rakyat kawasan sayangkan Raja Nong Chik, tetapi ramai yang tidak suka cara beberapa pegawai beliau buat kerja sebelum ini.

“UMNO juga sudah dua kali memberi peluang kepada beliau menjadi calon semasa Pilihanraya Umum (PRU) 13 dan PRU 14 yang lalu,” katanya.

Muhamad Muqharabbin juga berharap agar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dapat membuat keputusan sebaik-baiknya bagi memastikan kemenangan UMNO di Lembah Pantai.

“Kalau tidak biar sahaja saya, budak kampung sini yang bertanding, kalau bukan tiga nama di atas,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini meluangkan masa menziarahi pusara bekas 'sifu' atau mentor politiknya, Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan