29.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

17,405 kes baharu tertinggi, 2,032 kes sejarah vaksinasi

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Jumlah kes baharu harian COVID-19 hari ini, melonjak naik dan melepasi angka 17,000 dengan sebanyak 17,405 kes, dilaporkan.

Angka kes baharu harian tersebut memecah rekod sekaligus merupakan jumlah tertinggi dilaporkan sejak pandemik melanda negara tahun lalu.

Ia membabitkan peningkatan sebanyak 1,288 kes berbanding sebanyak 16,117 kes dilaporkan sehari sebelumnya.

Sebelum ini, kes harian pernah melepasi angka tersebut pada 25 Julai iaitu sebanyak 17,045 kes selain melebihi angka 16,000 iaitu 16,117 kes pada kelmarin serta dua kali mengatasi 15,000 iaitu 15,902 kes pada 24 Julai dan 15,573 kes pada 23 Julai.

Pesakit yang sedang dirawat dan diasingkan juga terus meningkat setiap hari dengan 175,113 kes semalam termasuk 1,016 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 529 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dengan pertambahan kes baharu harian tersebut menjadikan jumlah kes positif COVID-19 sebanyak 1,061,476 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes harian hari ini, sebanyak 374 kes (2.1 peratus) kategori tiga, empat dan lima.

“Manakala, sebanyak 17,031 kes (97.9 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosis COVID-19.

“Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga berubah status kesihatan sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

“Secara keseluruhan, hanya 2,032 kes (11.7 peratus) daripada jumlah kes pada hari ini (semalam) mempunyai sejarah vaksinasi COVID -19,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurut beliau, berdasarkan lampiran status vaksinasi COVID -19 daripada kes harian, sebanyak 159 kes dilaporkan adalah kategori satu dengan lima daripadanya mempunyai sejarah vaksinasi (3.1 peratus) dan 154 kes (96.9 peratus) pula tiada sejarah vaksinasi.

“Sementara, sebanyak 95 kes kategori dua iaitu sembilan kes (9.5 peratus) ada sejarah vaksinasi dan 86 kes (90.5 peratus) tiada sejarah vaksinasi manakala, kategori tiga merekodkan 120 kes dengan 35 kes (29.2 peratus) ada sejarah vaksinasi dan 85 kes (70.8 peratus) tiada sejarah vaksinasi.

“Kategori empat pula, sebanyak 7,912 kes dilaporkan iaitu 1,489 kes (18.8 peratus) ada sejarah vaksinasi dan 6,423 kes (81.2 peratus) tiada sejarah vaksinasi.

“Manakala, 9,119 kes kategori lima dengan 494 kes (5.4 peratus) ada sejarah vaksinasi dan 8,625 kes (94.6 peratus) tiada sejarah vaksinasi,” katanya.

Terdahulu dalam perkongsian di Twitter, Dr. Noor Hisham berkata, Selangor terus merekodkan peningkatan kes dan melepasi angka 7,000 dengan sebanyak 7,171 kes dilaporkan (6,616 kes). 

“Sementara, kes baharu harian COVID-19 di Kuala Lumpur juga masih kekal angka 2,000 dan menunjukkan peningkatan dengan 2,880 kes dilaporkan berbanding 2,457 kes sehari sebelumnya. 

“Diikuti peningkatan kes di beberapa negeri lain seperti Kedah dengan sebanyak 1,112 kes (1000 kes); Sabah (913 kes) (714 kes); Negeri Sembilan (863 kes)(669 kes); Pulau Pinang (760 kes)(618 kes); Terengganu (490 kes)(317 kes); Sarawak (464 kes)(405 kes) dan Pahang (429 kes)(403 kes). 

“Selebihnya, Labuan dengan 16 kes (11 kes) dan Perlis dengan tiga kes (dua kes).

“Bagaimanapun, empat negeri dan satu wilayah persekutuan merekodkan penurunan kes baharu harian iaitu Johor dengan 767 kes; Kelantan (532 kes); Melaka (531 kes); Perak (406 kes) dan Putrajaya (68 kes),”katanya.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, kes sembuh mencatatkan angka tertinggi melebihi 12,000 dengan 12,373 kes, menjadikan jumlah kes pulih daripada COVID-19 sebanyak 877,812 kes.

“Dalam pada itu, sebanyak 143 kes kematian lagi dilaporkan hari ini, termasuk membabitkan 20 warga asing terdiri daripada 94 lelaki dan 49 wanita dengan 14 kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-dead,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan