33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

11 kes positif COVID-19 dikesan di Parlimen

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Sebanyak 11 kes positif COVID-19 dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hasil pemeriksaan ke atas 1,183 individu yang hadir di beberapa lokasi sekitar Parlimen semasa tempoh Sidang Khas Dewan Rakyat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, susulan itu, pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah digerakkan bagi menjalankan saringan di Parlimen pada 29 Julai 2021 dan tamat pada pukul 8 malam. 

“Seramai 1,183 individu telah menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit dan daripada jumlah itu, didapati seramai sembilan kes dikesan positif COVID-19 menjadikan secara keseluruhan 10 kes yang dikesan melalui RTK Ag saliva test kit (satu kes tengah hari dan sembilan kes petang) ,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, dua daripada 10 kes positif tersebut mengalami gejala ringan tetapi stabil, manakala lapan kes tidak bergejala.

“Secara keseluruhan, sebanyak sebelas (11) kes positif telah dikesan pada 29 Julai 2021 iaitu sepuluh (10) melalui RTK Ag saliva test kit dan satu (1) melalui RT PCR,”katanya. 

Sehubungan dengan itu, katanya, KKM menasihatkan semua yang hadir dan berada di Parlimen bermula pada 26 Julai 2021 menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit. 

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM mengambil maklum mengenai dua kes positif COVID-19  yang telah hadir ke Parlimen sebelum ini. 

Menurutnya, kes pertama merupakan seorang petugas yang telah hadir ke Parlimen pada 26 Julai 2021 sehingga 28 Julai 2021 dan dilaporkan positif COVID-19 pada 29 Julai 2021 melalui ujian pengesahan RT PCR yang dijalankan sendiri di sebuah fasiliti kesihatan kerana beliau mengalami gejala batuk dan selesema. 

“Kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai 2021 menggunakan ujian kendiri RTK Antigen (Ag) saliva kerana beliau mengalami gejala batuk.

“Siasatan kes mendapati kedua-dua kes ini tiada kaitan dengan mana-mana kes positif yang dikesan dalam saringan petugas-petugas Parlimen yang dijalankan tiga hari sebelum Sidang Mesyuarat Khas Parlimen bermula. 

“Kedua-dua kes ini juga negatif COVID-19 apabila saringan dilakukan ke atas mereka sebelum bertugas di Parlimen,” katanya.- Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan