33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Rakyat perlu berganding bahu jayakan Pelan Pemulihan Negara

Mesti Baca

CYBERJAYA – Seluruh rakyat perlu berganding bahu dengan kerajaan bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang bakal membawa Malaysia keluar daripada krisis pandemik Covid-19.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelan yang melibatkan empat fasa yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memastikan kemenangan dapat dicapai dalam melawan wabak yang sudah berlarutan lebih setahun.

“Melindungi nyawa dan memastikan kelangsungan hidup rakyat menjadi keutamaan kerajaan dalam melaksanakan strategi ini, yang seperti ditegaskan Perdana Menteri, dirangka berdasarkan data dan sains serta indikator tertentu.

“Kita sendiri telah nampak tanda-tanda penurunan jangkitan sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 3.0 dilaksanakan, namun kita semua tidak harus sama sekali lalai, sebaliknya perlu terus mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadillah berkata, bagi mereka yang belum mendaftar untuk suntikan vaksin, beliau menggesa agar segera mendaftar bagi membentuk imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat seluruh negara.

Katanya, dengan kadar vaksinasi telah mencecah 197,963 dos semalam (14 Jun) dan akan dipertingkatkan hingga lebih 300,000 dos sehari serta peningkatan bekalan vaksin sebanyak 16 juta dos pada hujung Julai ini, imuniti kelompok akan dapat kita dipercepatkan, sekaligus menjayakan pelan ini.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu dan memberi komitmen padu demi menjayakan Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

Semalam ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara, Perdana Menteri melibatkan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Muhyiddin berkata, setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

“Indikator Pertama ialah keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian.

“Indikator Kedua ialah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU).

“Indikator Ketiga ialah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Keputusan peperiksaan STAM 2023 diumum 26 Mac ini – KPM

KEPUTUSAN Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023 akan dikeluarkan pada hari Selasa, 26 Mac ini. Kementerian Pendidikan...

Lagi Artikel Berkaitan