33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Kerjasama semua pihak jayakan Pelan Pemulihan Negara

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Pelan Pemulihan Negara amat penting dan kerjasama semua pihak diperlukan bagi memastikan ia berjaya dilaksanakan mengikut strategi yang telah dirancang.

Sehubungan itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyeru seluruh rakyat bersama-sama kerajaan berganding bahu memerangi pandemik COVID-19.

“Kita pastinya merindui kehidupan normal yang kita lalui sebelum ini, bekerja seperti biasa, ziarah-menziarahi, balik kampung bertemu ibu bapa serta keluarga tersayang, beramah mesra bersama sahabat taulan dan perkara amalan kebiasaan selama ini.

“Marilah bersama-sama kita berusaha untuk mencapai 60 peratus populasi negara yang menerima dua dos suntikan vaksin supaya kita dapat mewujudkan imuniti kelompok supaya fasa peralihan dapat dilaksanakan paling awal pada akhir Oktober ini.

“Saya berdoa supaya kita semua diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk kita terus bangkit melawan COVID-19. Semoga Allah mengembalikan keadaan negara kita seperti sedia kala,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, strategi Pelan Pemulihan Negara yang dilaksanakan kerajaan merangkumi empat fasa dan akan melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat.

Beliau menjelaskan, setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Mohd Khairuddin turut menyambut baik Pelan Pemulihan Negara seperti yang diumumkan oleh Muhyiddin semalam yang mengandungi empat strategi merangkumi empat fasa.

Fasa Pertama iaitu pelaksanaan PKP, Fasa Kedua (kesinambungan Fasa Pertama), Fasa Ketiga (semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali yang berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19) dan Fasa Keempat (kembali semula kepada norma kehidupan seharian).

“Sudah hampir dua tahun kita berperang dengan pandemik COVID-19, satu ketika kita sudah menang tetapi gelombang-gelombang seterusnya melonjakkan kembali keluk jangkitan COVID-19.

“Kerajaan tidak pernah berhenti untuk memastikan setiap nyawa rakyat negara ini terus dilindungi dari wabak ini namun begitu keadaan semakin membarah,” jelasnya.

Beliau menambah, pelbagai usaha sedang dilakukan kerajaan termasuk melancarkan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kempen-kempen kesedaran kepada rakyat seluruh pelosok negara.

Mohd Khairuddin berkata, semua pihak dalam segenap peringkat masyarakat dan ekonomi negara terjejas akibat pandemik ini.

Sektor agrikomoditi yang merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara di bawah kendalian Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang saya terajui juga turut terkesan.

“Kita terpaksa melaksanakan PKP 3.0, ia bukan keputusan mudah. Negara kita kehilangan RM1 bilion sehari sepanjang PKP dilaksanakan,” ujarnya. – EDISI 9

Terkini

Agong murka isu stoking tertera kalimah Allah

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di...

Lagi Artikel Berkaitan