32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Pengambilan khas guru: Armada jawab Zahid

Mesti Baca

CYBERJAYA – Ketua Penerangan Armada Nasional, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir hari ini meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melihat dalam konteks lebih luas dan tidak menghadkan pandangan berkaitan isu pengambilan khas guru yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini.

Berikut kenyataan Mohd Ashraf:

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah membangkitkan beberapa persoalan berkenaan pengambilan khas guru secara one-off sebagaimana pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin baru-baru ini.

Izinkan saya memberi penjelasan bagi mengelakkan kekeliruan yang cuba beliau timbulkan berkaitan pengambilan khas melibatkan 18,702 guru gred DG41.

Pertama, Ahmad Zahid menyatakan sama ada akan ada pengambilan graduan pendidikan baharu pada tahun-tahun mendatang.

Ya, pengambilan graduan pendidikan pada tahun mendatang akan tetap diteruskan kerana pengambilan “one-off” ini bertujuan untuk mengisi jawatan sedia ada yang sepatutnya telah diisi sejak dulu lagi.

Kedua, beliau turut mempersoalkan keperluan untuk membuka pengambilan one-off ini kepada graduan bidang lain. 

Dalam sidang media Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin telah menyatakan secara jelas bahawa pengambilan khas ini akan tetap memberikan keutamaan kepada graduan pendidikan. 

Pada masa yang sama, KPM dan SPP akan bekerjasama dalam mewujudkan kluster opsyen dan akan memberi peluang luas kepada graduan pendidikan.

Pengambilan graduan bukan daripada bidang pendidikan pula akan dipertimbangkan sekiranya calon berjaya dalam kalangan graduan pendidikan masih tidak mencukupi disebabkan ketidakpadanan opsyen. Maka, tidak timbul isu graduan pendidikan disisihkan daripada pengambilan khas ini.

Ketiga, Ahmad Zahid mempersoalkan sama ada keputusan Kementerian Pendidikan ini dibuat atas sebab-sebab populis.

Andainya Ahmad Zahid terlupa, izinkan saya untuk memperkuatkan memorinya kembali. Perlu diingat bahawa isu kekurangan guru ini hasil daripada keputusan Kerajaan antaranya pada tahun 2016, Kerajaan mengurangkan pengambilan guru bagi Institut Pendidikan Guru.

Isu pendidikan tidak wajar dijadikan bahan untuk sesetengah pihak semata-mata untuk mencari perbatuan politik. 

Keputusan Menteri Kanan Pendidikan mengenai pengambilan khas ini adalah bertujuan untuk membuka jalan terhadap isu kekurangan guru yang serius, terutamanya di beberapa buah negeri seperti di Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.

Saya menyeru Ahmad Zahid agar melihat isu ini dalam konteks yang lebih luas dan tidak mengehadkan pandangan beliau terhadap politik sempit semata-mata.

Insya-Allah, apa yang dilakukan hari ini dapat menjamin masa depan anak-anak pewaris negara kita. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan