32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, September 24, 2021

Mohd Rashid mengaku makan durian beramai-ramai

Mesti Baca

CYBERJAYA – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon hari ini mengaku video yang memaparkan beliau sedang makan durian bersama sekumpulan orang dirakamkan baru-baru ini.

Semalam, Ahli Parlimen Batu Pahat itu menyatakan kepada media bahawa video tersebut dirakamkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Mohd Rashid memohon maaf atas kekeliruan yang timbul apabila terdapat media yang menghubunginya bagi bertanyakan mengenai video di kebun dan beliau menjawab soalan tersebut tanpa menonton sendiri video pada awalnya.

“Setelah selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam, barulah saya ada kesempatan untuk analisis video yang terkait pada saya.

“Untuk makluman, sememangnya sejak PKP yang pertama sehingga kini, saya sering menerima aduan daripada pekebun kecil termasuk pengusaha sayur dan buah-buahan yang mengalami kesukaran menjual hasil tanaman mereka berikutan jualan yang merosot.

“Setelah meneliti, salah satu video yang tular semalam merupakan lawatan saya ke kebun durian kampung yang diusahakan masyarakat setempat yang mana turut terkesan berikutan PKP ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Baca juga:   Sebar berita palsu, polis cari pemilik FB Junaidah June

Beliau menjelaskan, pada hari yang sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraidah Kamaruddin mengadakan lawatan kerja ke Batu Pahat.

Mohd Rashid berkata, mereka kemudian menghadiahkan durian kepada rombongan Zuraidah untuk dibawa pulang.

Menurut Mohd Rashid, selepas rombongan Zuraidah pulang, beliau dibawa ke kebun oleh salah seorang pengusaha pada sebelah petang bagi mendengar permasalahan yang dihadapi dan berbincang lanjut.

Baca juga:   Polis kesan penipuan pakej haji, umrah, badal

“Setiba saya di kebun, pengusaha kebun durian tersebut menghidangkannya kepada kami.

“Saya menjamah sedikit durian sambil berbincang dengan pengusaha kebun mengenai langkah-langkah bantuan yang boleh dihulurkan,” jelasnya.

Beliau seterus meninggalkan program lebih awal selepas perbincangan tamat kerana perlu pulang ke Kuala Lumpur.

“Saya mohon maaf atas kekhilafan ini dan menyerahkan siasatan lanjut dan saya berjanji untuk memberikan kerjasama kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah dalam kenyataan media semalam mengesahkan siasatan sedang dijalankan berhubung video yang tular itu.

“Pihak polis akan memanggil Ahli Parlimen berkenaan dan pihak-pihak yang terlibat dalam video tersebut untuk membantu siasatan,” katanya.

Menurut beliau, siasatan dijalankan di bawah Peraturan 18 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021. – EDISI 9

Terkini

Lebih 6,600 pemandu bas ekspres terima bantuan one-off RM500

CYBERJAYA - Lebih 6,600 pemandu bas ekspres di seluruh negara akan menikmatibantuan kewangan secara sekali-beri berjumlah RM500 setiap orang. Menteri...

Lagi Artikel Berkaitan