26 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Masih belum ada tanda kes positif bawah angka 4,000

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Sebanyak 5,586 kes jangkitan positif baharu COVID-19 dikesan di seluruh negara hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 734,048 kes sejak pandemik itu melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 5,583 kes adalah kes tempatan manakala tiga lagi kes import.

“Sebanyak 60 kes kematian hari ini yang melibatkan 20 kes di Selangor, 16 kes di Kuala Lumpur, enam kes di Kelantan, lima kes di Johor, empat kes di Negeri Sembilan, tiga kes di Sarawak, masing-masing dua kes di Melaka dan Pahang, serta masing-masing satu kes di Kedah dan Labuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

kes

Seramai 52 pesakit COVID-19 yang meninggal dunia adalah rakyat tempatan dan lapan orang lagi warga asing.

Menurut beliau, sebanyak 61,395 kes masih aktif di mana 886 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 446 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak 4,777 pesakit sembuh hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 667,709 kes.

Dr Noor Hisham turut mengumumkan, sebanyak 17 kluster baharu dikesan di seluruh negara dan 874 kluster masih aktif.

Daripada jumlah itu, terdapat sembilan kluster tempat kerja, enam kluster komuniti, satu kluster pusat tahanan dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Sebanyak 2,772 kluster dikesan sejak pandemik COVID-19 melanda negara dan 1,898 kluster telah tamat.

kes

Dalam kenyataan sama, Dr Noor Hisham turut menyentuh tentang gejala tekanan melampau tang dialami oleh petugas barisan hadapan.

“Hal ini berlaku apabila mereka perlu bekerja dengan komitmen melebihi 100 peratus bagi suatu tempoh yang lama.

“Situasi ini telah mengakibatkan keletihan fizikal dan mental yang boleh mengganggu konsentrasi serta produktiviti petugas barisan hadapan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat,” jelasnya.

Beliau turut memetik kajian yang dijalankan oleh Roslan N.S. et. al. (2021) ke atas 893 petugas kesihatan mengenai Prevalen dan Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Burnout dalam Kalangan Petugas Barisan Hadapan di Malaysia Semasa Pandemik COVID-19.

Antara dapatan kajian tersebut adalah:

  • Berkaitan peribadi (personal related burnout) adalah sebanyak 53.8 peratus, dan paling tinggi adalah dalam kalangan pegawai farmasi dan petugas kesihatan di peringkat daerah;
  • Prevalen burnout berkaitan pekerjaan (work related burnout) adalah sebanyak 39.1 peratus di mana Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) dan petugas di makmal mencatatkan peratusan tertinggi;
  • Prevalen burnout berkaitan dengan pesakit (patient related burnout) adalah sebanyak 17.4 peratus dalam kalangan paramedik dan petugas kesihatan di hospital swasta;
  • Kebanyakannya merasakan bahawa mereka tidak mendapat sokongan psikososial yang mencukupi di tempat kerja; dan

Antara faktor yang mencetus situasi burnout dalam kalangan petugas kesihatan adalah:

  • bebanan tugas yang tinggi;
  • ketidakpastian tempoh pandemik yang panjang;
  • pertukaran dan proses adaptasi terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang pelbagai;
  • rancangan kerjaya terganggu; dan
  • kesulitan mengimbangkan keluarga dan kerjaya.

Dr Noor Hisham memberitahu, menyedari situasi yang meruncing ini, beberapa inisiatif telah diwujudkan oleh Kementerian Kesihatan dalam menangani gejala tekanan yang melampau, khususnya bagi kakitangan kesihatan dan petugas barisan hadapan dalam tempoh pandemik ini, antaranya adalah:

  • Saringan kesihatan mental sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti mereka yang mempunyai tanda-tanda awal tekanan, keresahan dan kemurungan;
  • Psychological First Aid (PFA) diberikan kepada mereka yang bermasalah dan dirujuk kepada kaunselor atau pakar psikiatri mengikut keperluan;
  • Selain itu, sesi pre-deployment turut diberikan kepada petugas kesihatan dan sukarelawan daripada agensi lain yang dimobilisasikan ke seluruh negara untuk bertugas membantu mengendalikan pandemik COVID-19. Sesi ini adalah sebagai persediaan mental sebelum melaksanakan tugas;
  • Petugas juga diberikan Mental Health Alert Card apabila selesai menjalankan tugas bagi pemantauan kendiri tahap kesihatan mental mereka;
  • Bagi mengelakkan burnout, petugas kesihatan yang terlibat dalam pengendalian wabak COVID-19 turut diberikan cuti tanpa rekod dengan persetujuan Ketua Jabatan;
  • Sesi debriefing diberikan kepada petugas setelah selesai tugasan di lapangan;
  • Mengamalkan konsep pusingan kerja (Job Rotation); dan
  • Menempatkan pasukan MHPSS di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) seperti di PKRC MAEPS untuk memberikan perkhidmatan kaunseling dan intervensi psikososial kepada kakitangan dan pesakit.

Petugas barisan hadapan disarankan untuk mengambil langkah penjagaan kendiri bagi mengelakkan burnout seterusnya mewujudkan budaya kerja yang sihat dan ceria seperti berikut:

  • Bekerja secara efektif sebagai sebuah pasukan bagi meringankan beban tugas;
  • Sentiasa melakukan penilaian kendiri bagi mengesan tanda-tanda awal burnout;
  • Membina hubungan baik antara rakan sekerja dan ahli keluarga;
  • Sedia berkongsi dan mendengar pandangan serta nasihat sekiranya mempunyai masalah;
  • Mengamalkan senaman dan teknik kawalan pernafasan bagi mengurangkan tekanan; dan
  • Dapatkan rehat secukupnya serta amalkan pemakanan yang seimbang.
  • Kementerian Kesihatan menggesa semua petugas barisan hadapan untuk sentiasa mengambil berat aspek kesihatan mental di samping memberikan komitmen yang tidak berbelah bagi dalam memberi perkhidmatan dan rawatan kepada pesakit-pesakit khususnya dalam tempoh melawan pandemik ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan melalui pasukan MHPSS akan sentiasa berkolaborasi dengan pelbagai agensi dan kementerian dalam menangani masalah tekanan melampau dalam kalangan petugas kesihatan serta mengambil tindakan yang sesuai bagi mencegah masalah itu daripada terus berlaku.

“Bantuan serta kaunseling sentiasa akan dihulurkan kepada mana-mana individu yang memerlukan khususnya petugas barisan hadapan,” katanya. – EDISI 9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan