24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Longgarkan PKP di negeri-negeri kes harian di bawah 100

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Saudara Pengarang,

Melihat trend kes harian Covid-19 yang masih berada di atas angka 4,000 kemungkinan besar kerajaan akan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 fasa 1 sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

Ini seperti digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara yang mana jika angka harian berada di bawah 4,000 selama seminggu berturut-turut maka PKP 3.0 akan memasuki Fasa 2 dengan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka.

Namun kenyataannya menjelang tiga hari lagi sebelum tamat PKP 3.0 yang dimulakan sejak 1 Jun sehingga 14 Jun yang dilanjutkan sehingga 28 Jun, angka-angka kes harian tidak menampakkan tanda-tanda menurun di bawah 4,000.

Jika benar PKP 3.0 Fasa 1 akan dilanjutkan, saya berharap kerajaan mempertimbang dengan memberi kelonggaran kepada beberapa negeri yang sudah mencatatkan angka di bawah 100 sejak lebih seminggu lalu,

Antaranya ialah Terengganu, Perlis dan Putrajaya.

Negeri-negeri ini sudah menunjukkan trend jangkitan yang semakin terkawal, dengan kes-kes harian mencatatkan angka satu dan dua digit dalam tempoh seminggu terakhir.

Malah mengikut rekod harian di Terengganu sahaja menunjukkan kes hari harian berada di bawah 50 kes sejak 20 Jun 2021.

Advertisements

Manakala rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung kes-kes penularan bukan berpunca daripada kluster atau disebut sporadik, negeri-negeri tersebut juga tergolong kawasan yang hampir bebas daripada kes berkenaan.

Dengan langkah tersebut, kerajaan sekurang-kurang memberi kelegaan kepada sebahagian rakyat untuk kembali menjalankan urusan harian terutama kalangan peniaga yang sudah semakin ‘senak dan sesak’ sejak PKP 3.0 dilaksanakan di seluruh negara.

Adalah tidak adil seandainya kes-kes harian tinggi dicatatkan di Lembah Klang tetapi negeri-negeri lain yang sudah menunjukkan trend penurunan penularan seperti dinyatakan di atas terkena getah dengan turut disekat daripada pergi bekerja, berniaga dan makan di restoran.

Kami memahami langkah mengenakan PKP 3.0 sepenuhnya bagi melandaikan kes harian Covid-19 dan kami akur mengenainya.

Tapi sampai bila keadaan ini akan berlarutan sedang kami di negeri-negeri berkenaan ‘patuh’ dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM dengan duduk di rumah jika tiada urusan.

Kepatuhan rakyat di negeri-negeri berkenaan telah berjaya melandaikan lekok kes harian, namun masih lagi ‘dikurung’ hanya kerana kes di negeri-negeri lain terutama di Lembah Klang, berpunca daripada kluster tempat kerja atau tepatnya sektor perkilangan.

Justeru, diharapkan pihak MKN dan KKM dapat mempertimbangkan permohonan kami di negeri-negeri yang kes harian di bawah 100 ini untuk diberi kelonggaran bergerak.

SITI SALMAH
Kemaman, Terengganu

E-melkan keluhan, pandangan, kritikan dan aduan anda kepada kami menerusi [email protected]

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan