33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Kerajaan sasar lebih 200,000 terima suntikan Julai

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kerajaan menyasarkan lebih 200,000 orang akan menerima suntikan vaksin Covid-19 sehari bermula Julai ini, dan kemudian ditingkatkan kepada lebih 300,000 orang sehari mulai Ogos. 

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata antara langkah yang dilakukan bagi mencapai angka itu termasuk membuka lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara.

“Ini adalah antara faktor yang menyebabkan saya  melawat ke beberapa negeri termasuk Johor untuk memastikan keperluan membuka lebih banyak PPV berskala besar sekali gus dapat mempertingkatkan pemberian vaksin dalam kalangan rakyat.

“Jika kita boleh lakukannya, saya yakin kita boleh capai sasaran kita untuk memvaksin 80 peratus daripada penduduk menjelang Oktober,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bersama Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad di Bangunan Dato’ Jaafar di Iskandar Puteri hari ini seperti dilapor Bernama.

Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata seiring dengan penambahan PPV berskala besar, kerajaan turut berusaha menambah tenaga kerja yang mencukupi dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak swasta dan mendapatkan bantuan daripada  doktor pelatih, pesara doktor, pesara jururawat dan pelajar perubatan. 

“Malaysia sudah memuktamadkan jadual penghantaran 25 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech yang akan dihantar pada suku ketiga tahun ini iaitu bermula Julai diikuti Ogos dan September.

“Kita kini lebih jelas mengenai jadual penghantaran vaksin Sinovac dan sedang berusaha mengemas kini jadual penghantaran vaksin AstraZeneca kerana terdapat perubahan di sana,” katanya. 

Mengulas mengenai mesyuarat CITF hari ini, Khairy berkata sebuah PPV industri yang pertama di negeri ini dijangka dibuka pada 16 Jun yang dikhususkan kepada pekerja di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Kota Tinggi selain di Mount Austin, Johor Bahru pada akhir bulan ini.

“Kita juga telah menerima cadangan Johor untuk menggerakkan PPV bergerak dan secara pandu lalu … sekiranya bekalan vaksin tidak ada gangguan, saya menjangkakan bahawa kita akan dapat selesai memberi vaksinasi kepada tiga juta penduduk Johor pada akhir bulan Oktober,” katanya. 

Dalam pada itu, Hasni berkata kerajaan negeri telah mencadangkan beberapa lokasi lain kepada Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan PPV swasta selain PPV AstraZeneca (PPVAZ) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada) bagi mencapai sasaran pemberian 50,000 dos sehari sehingga Oktober.

Ini termasuk membangunkan PPV swasta di kawasan pusat membeli belah atau PPV pandu lalu di taman tema serta beberapa PPV swasta di Daerah Batu Pahat, Pagoh dan Kluang, katanya.

Sementara itu, Hasni berkata kerajaan negeri tidak akan melaksanakan ujian saringan COVID-19 secara besar-besaran sebaliknya saringan bersasar di kawasan berisiko.

“Sebanyak 20,000 kit ujian “Antigen Rapid Test” (RTK-Ag) akan digunakan bagi tujuan saringan bersasar di Johor Bahru berikutan peningkatan kes COVID-19 yang dilaporkan di daerah ini,” katanya.

Kit ujian RTK-Ag yang diterima daripada Singapura melalui Yayasan Sultan Ibrahim itu, menurutnya  mampu memberi keputusan ujian COVID-19 dalam tempoh kira-kira lima minit dan ketepatan mencapai 98 peratus, sekali gus membantu mengesan lebih awal kes jangkitan COVID-19  di kawasan Johor Bahru.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan