33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Hospital Ampang pula dijadikan hospital Covid-19 sepenuhnya

Mesti Baca

CYBERJAYA – Ekoran peningkatan kes yang tinggi dan kekurangan katil unit rawatan rapi (ICU) di Lembah Klang, Hospital Ampang pula dijadikan hospital Covid-19 sepenuhnya mulai semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, hospital tersebut akan dijadikan tempat rawatan bagi pesakit Covid-19 terutama melibatkan kategori tiga dan ke atas secara berterusan di Zon Wilayah Tengah.

Beliau berkata, situasi yang berlaku ini menyebabkan purata penggunaan katil di hospital-hospital Zon Wilayah Tengah adalah melebihi kadar maksimum.

“Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu MAEPS 2.0 juga menghadapi kesukaran untuk merujuk pesakit yang memerlukan rawatan lanjut di hospital,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sebelum ini, Hospital Ampang diletakkan di bawah status Hospital Hybrid Covid-19 bagi membantu JKNS menangani penularan Covid-19.

Dalam pada itu, Sha’ari berkata, buat masa ini terdapat dua hospital yang beroperasi sebagai hospital Covid-19 sepenuhnya di negeri ini iaitu Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang.

Katanya, berikutan itu, semua rujukan pesakit bukan Covid-19 dari fasiliti lain ke Hospital Ampang juga dihentikan buat sementara waktu mulai Rabu bagi memberi ruang kepada hospital ini menerima pesakit Covid-19.

“JKNS juga memohon kerjasama pihak Hospital Ampang untuk menerima rujukan pesakit Non Covid-19 sedia ada daripada hospital berkenaan agar rawatan mereka dapat diteruskan,” katanya.

Sebelum ini Ketua Pengarag Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran tentang penularan kes sporadik yang membimbangkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Sawarak.

Berdasarkan kenyataan beliau pada 21 Jun lalu, Selangor mencatatkan kes sporadik tertinggi iaitu 151,725 kes (38.0 peratus), Kuala Lumpur sebanyak 44,517 kes (11.2 peratus) dan diikuti oleh negeri Sarawak sebanyak 40,889 kes (10.3 peratus).

Dr. Noor Hisham daam satu kenyataan berkata, kes sporadik dikesan melalui saringan di tempat kerja, saringan dalam komuniti atau dari saringan kes bergejala.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kes sporadik tersebut tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang berada di sekeliling mereka yang tidak mengamalkan SOP dengan betul,” katanya.

Jelas Dr. Noor Hisham, Lembah Klang mencatatakan jumlah kes sporadik tertinggi pada Minggu Epidemiologi (ME) 24 iaitu Daerah Petaling dengan 3,905 kes, Daerah Hulu Langat dengan 2,783 kes, dan Daerah Klang dengan 2,482 kes.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan