29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Desak sidang Parlimen, jangan ‘ada udang di sebalik batu’

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

KITA tidak pasti apa yang strategi Tun Dr.Mahathir Mohamad apabila beliau mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan.

Dan kita juga tidak pasti kenapa beliau menawarkan khidmatnya jika penubuhan itu berlaku.

Tetapi apa yang pasti parti-parti politik utama seperti PKR, DAP, Amanah dan UMNO ‘sepakat’ menolak penubuhan MAGERAN. Sebaliknya mereka mahu proklamasi Darurat ditamatkan dan sidang Parlimen diadakan.

Apakah mungkin Dr. Mahathir sudah menjangkakan penolakan itu dan sebenarnya mahu Parlimen bersidang? 

Macam-macam spekulasi boleh dibuat apatah lagi Dr.Mahathir pun mengakui bercakap dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum menghadap Al-Sultan Abdullah.

Dr.Mahathir hanya maklumkan Anwar tidak dapat berikan apa-apa cadangan untuk selesaikan masalah yang dihadapi sekarang.

Untuk rekod, Astro Awani melaporkan Anwar menyerahkan dua dokumen penting ketika menghadap Agong berkaitan Covid-19 dan ekonomi negara.

‘’Beliau ada menyerahkan dua dokumen penting tentang cara menyelesaikan masalah Covid dan juga cara membangun semula ekonomi dan negara yang kian lumpuh,’’ kata satu sumber.

Kalau itu hujahnya apakah ini bermaksud kenyataan Dr.Mahathir bahawa Anwar tidak ada apa-apa cadangan tidak tepat? Atau Anwar memang tidak mahu beritahu bekas Perdana Menteri itu, apa cadangan yang beliau ada.

Dan hari ini Anwar bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu menolak cadangan Dr.Mahathir supaya MAGERAN ditubuhkan.

Sudah pasti adegan politik tidak akan berakhir begitu sahaja. Apatah lagi PH bersama UMNO mahukan sidang Parlimen diadakan.

PH menegaskan, ‘’penyelesaian masalah rakyat dalam isu Covid-19, ekonomi malah juga politik memerlukan demokrasi berfungsi dengan baik dan ruang terbaik untuk mendengar suara rakyat serta mencari penyelesaian ialah di Parlimen.’’

Presiden UMNO,Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi pula turut menegaskan, Parlimen wajar bersidang bagi memastikan sistem demokrasi negara dapat dipertahankan dan wujud elemen akauntabiliti serta semak dan imbang dalam segala aspek berkaitan dengan pentadbiran negara.

Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, parti tersebut juga menolak MAGERAN kerana Darurat sepatutnya mencakupi soal-soal itu tetapi dakwa beliau, ‘’ tetapi ia telah (cuba) digunakan untuk mencapai tujuan lain.’’

Kalau begitu hujah Ahmad Zahid, beliau juga perlu memastikan sidang Parlimen tidak ‘digunakan untuk mencapai tujuan lain’. Ia memandangkan PH dan UMNO ‘sehati sejiwa’ mahukan Parlimen dibuka kerana ingin membincangkan soal Covid-19 dan ekonomi negara.

Tetapi apa jaminan bahawa Parlimen tidak akan menjadi gelanggang politik ketika negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19? Adakah isu-isu politik termasuk soal keabsahan dan undi tidak percaya tidak akan dibangkitkan? 

Dalam memperkatakan soal ini, parti-parti politk perlu jujur. Kalau betul mahu sidang Parlimen membincangkan soal pandemik Covid-19 maka tumpu sahaja kepada isu tersebut, bukannya soal politik. 

Penulis percaya tidak ada apa-apa masalah atau pertikaian yang boleh menggugat kestabilan politik negara jika persidangan Parlimen berkisar soal mencari penyelesaian tuntas Covid-19.

Lagipun mereka hanya perlu menambahbaik sahaja usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19.

Kerajaan ketika ini sedang melakukan pelbagai usaha berhubung perkara itu dan ia semakin menampak kejayaan walaupun kes baharu masih dianggap tinggi tetapi adakah kes baharupun mahu dikaitkan dengan kegagalan kerajaan, sedangkan ia banyak berpunca daripada segelintir rakyat yang tidak mahu mematuhi SOP dan ada pula membawa jangkitan itu kepada orang lain?

Justeru jangan ada ‘udang di sebalik batu’ apabila beria-ia mahu sidang Parlimen diadakan. Lagipun kerajaan pun sedang mengkaji untuk membolehkan sidang berkenaan dilaksanakan secara hibrid. Jika tiada ada apa-apa agenda politik, mereka tidak akan ada masalah, biar apapun bentukpun sidang itu dilaksanakan.

Penulis yakin tidak ramai rakyat peduli sama ada sidang Parlimen diadakan atau tidak, apa yang mereka mahukan sekarang ialah pandemik Covid-19 dihapuskan daripada bumi Malaysia.

Oleh itu jika sidang Parlimen yang didesak diadakan dengan alasan mahu membincangkan mengenai wabak tersebut, tumpu sahaja kepada agenda tersebut bukan soal agenda ‘khemah besar’, jajaran baharu atau menukar kerajaan kerana ini bukan masanya.

Parti-parti politik khususnya pembangkang tidak perlu bimbang, jika mereka yakin rakyat bersama mereka, bersabarlah sehingga kes Covid ini diselesaikan dan seterusnya membolehkan keadaan kembali normal. Pada masa itu desaklah apapun waima mahu pilihan raya diadakan sekalipun.

Ia memandangkan kalaulah sidang Parlimen itu hanya dijadikan gelanggang politik apatah lagi mahu melaksanakan agenda politik mana-mana pihak atau individu, negara pasti berhadapan dengan satu lagi krisis yang sepatutnya boleh dielakkan.

Kesimpulannya jadilah ahli politik yang bertanggungjawab dan benar-benar berjuang untuk rakyat dan bukannya menggunakan rakyat bagi melunaskan perancangan politik yang dikatakan secara diam-diam sedang rancak berjalan.

Apapun sama-samalah kita nanti apakah hasil perbincangan khas Majlis Raja-Raja  Melayu pada Rabu selepas Yang di-Pertuan Agong selesai menerima menghadap semua ketua-ketua parti.

Penulis yakin Seri Paduka dan Majlis Raja-Raja Melayu cukup bijaksana menyelesaikan apa juga kemelut melalui pendekatan ‘menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerakan’ demi kesejahteraan rakyat dan negara. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan