29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Central Global cari rakan strategik baharu bagi sektor pembinaan

Mesti Baca

CYBERJAYA – Central Global Berhad sedang mencari rakan-rakan strategik baharu dalam pembinaan bagi mengembangkan lagi sektor perniagaan bidang tersebut.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Faisal Zelman Abdul Malik berkata, ia selaras dengan keputusan mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat itu yang mahu mencari peluang-peluang baharu bagi sektor tersebut.

“Kami nyatakan di dalam AGM bahawa Lembaga Pengarah mencari peluang-peluang bagi sayap pembinaan menerusi perkongsian strategik.

“Kami percaya landskap bagi perniagaan pembinaan sedang berubah dan perkongsian sedemikian adalah cara terbaik untuk kami melangkah ke hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam AGM tersebut Faisal Zelman, Pengarah Eksekutif, Tobby Tan dan Pengarah Bebas, Lee King Loon kekal sebagai anggota Lembaga Pengarah berdasarkan pelantikan pada 26 Februari lalu.

Pemegang saham juga meluluskan resolusi melantik Baker Tilly Monteiro Heng PLT sebagai auditor Kumpulan bagi menggantikan KPMG PLT.

Faisal Zelman berkata, pada masa yang sama pihaknya juga merancang untuk menambah baik mesin-mesin bagi sayap perkilangan mereka agar lebih produktif dan kos yang lebih efisien.

“Kami kekal optimis dalam berjaga-jaga dan akan terus memantau perubahan kesan daripada pandemik COVID-19 dan melakukan perubahan sewajarnya kepada operasi harian dengan tidak menjejas besar perniagaan.

“Kami yakin bahawa perancangan yang kami laksanakan ini akan memberi manfaat kepada Kumpulan untuk tempoh jangka panjang,” kata beliau.

Antara perancangan Central Global ialah penempatan persendirian sebanyak 18 juta saham baharu yang telah diluluskan, bagi menambah baik kapasiti sayap perkilangan selain membiayai projek pembinaan sedia ada di Pulau Pinang.

Central Global juga meraih projek pembinaan di Lahad Datu, Sabah bernilai RM101 juta selain sedang berbincang mengenai beberapa projek pembinaan.

Ditubuhkan pada 1972, Central Global secara prinsipal terlibat dalam bidang pembuatan pita industri dan stok label selain penyedia rumusan sehenti bagi pita kertas krep.

Sejak 2019, syarikat itu turut mula melibatkan diri dalam sektor pembinaan dan aktif terutamanya di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan