26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Bayaran bersama peserta Cuepacscare dimansuh

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan FWD Takaful Berhad bersetuju untuk memansuhkan bayaran bersama sebanyak 20 peratus kepada peserta Program Takaful CuepacsCare yang menaik taraf kadar bilik dan penginapan ketika mendapatkan rawatan di panel hospital swasta berkuat kuasa 15 Jun 2021.

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, pemansuhan bayaran bersama tersebut membolehkan lebih 80,000 penjawat awam yang menyertai CuepacsCare menikmati manfaat perlindungan lebih komprehensif di hospital swasta tanpa dikenakan caj 20 peratus daripada jumlah bil yang dilindungi sekiranya menaik taraf kadar bilik dan penginapan.

Beliau berkata, peserta CuepacsCare hanya perlu membayar lebihan caj daripada jumlah yang dikenakan oleh pihak hospital sahaja selepas pemansuhan berkuat kuasa sekiranya memilih untuk dimasukkan ke wad pada kadar bilik yang lebih tinggi daripada RM150 sehari seperti ditetapkan dalam sijil takaful.

“Situasi semasa penularan COVID-19 di negara ketika ini menyebabkan ramai pesakit yang pergi ke hospital swasta memilih untuk menerima rawatan di bilik yang lebih selesa serta tidak berkongsi dengan pesakit lain. Langkah ini mungkin disebabkan sikap berhati-hati untuk mengelakkan risiko jangkitan.

“Persetujuan FWD Takaful untuk memansuhkan bayaran bersama ini memberi kemudahan kepada penjawat awam yang menyertai CuepacsCare mendapatkan rawatan di hospital swasta pada kadar bilik lebih tinggi dan selesa tanpa perlu membayar kos yang lebih banyak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Adnan berkata, CUEPACS menasihatkan kepada semua penjawat awam untuk menyediakan perlindungan tambahan melalui penyertaan dalam program takaful sebagai persediaan menghadapi kemalangan yang tidak dijangka tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.

“Situasi pandemik yang melanda negara mengakibatkan hospital kerajaan sesak dan terpaksa mengutamakan pesakit COVID-19. Bagi mereka yang mendapatkan rawatan untuk lain-lain penyakit, rawatan mungkin akan ditangguhkan bagi mengutamakan pesakit COVID-19. Untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta pula mungkin tidak mampu kerana caj yang tinggi.

“Bagi mengatasi masalah tersebut CUEPACS telah memperkenalkan program takaful CuepacsCare yang memberi alternatif kepada penjawat awam mendapatkan rawatan di hospital swasta dengan kadar sumbangan bulanan mampu dimiliki dan melindungi seisi keluarga,” katanya. – EDISI 9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan