CYBERJAYA – Ramai orang terkejut semalam apabila mendapati nama mereka didaftarkan sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) tanpa pengetahuan dan kerelaan mereka.
Mereka memperoleh maklumat tentang keanggotaan masing-masing setelah membuat carian dengan menggunakan nombor kad pengenalan dalam portal agensi berkenaan.
Isu yang tular dalam kalangan netizen itu seterusnya mencetuskan kebimbangan tentang tahap keselamatan data peribadi mereka berikutan timbul dakwaan berlaku pendaftaran anggota agensi berkenaan tanpa kerelaan individu terbabit.
Tengah hari ini, fungsi carian keahlian melalui pautan www.rela.gov.my tidak dapat dicapai.
Bagi menjawab isu berkenaan, Rela dalam kenyataan media hari ini menegaskan bahawa dakwaan menggunakan data peribadi orang lain untuk didaftarkan sebagai anggota agensi kesukarelaan itu secara automatik tanpa mendapat kebenaran individu terbabit adalah tidak benar.
“Perbuatan ini adalah bercanggah dengan perkara yang dinyatakan dalam Seksyen 6(1) Akta Perlindungan Data Peribadi 2010,” kata agensi tersebut.
Agensi itu menambah, Seksyen 7(1) Pendaftaran sebagai anggota Rela, Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 (Akta 752) menyatakan, seseorang yang berumur 18 tahun dan ke atas yang berupa seorang warganegara dan bukan seorang anggota tentera atau mana-mana pasukan atau skim sukarelawan yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis boleh memohon secara bertulis kepada Ketua Pengarah untuk didaftarkan sebagai anggota Rela.
Selain itu, Seksyen 5(1) Akta (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1964 Peraturan-peraturan Perlu (Ikatan Relawan Rakyat) 1966 Pindaan 1 Februari 2005 (telah dibatalkan) menyatakan, kecuali diperuntukkan kemudiannya, setiap orang lelaki yang telah mencapai umur 18 tahun dan orang yang belum mencapai umur 55 tahun hendaklah bertanggungan untuk berkhidmat dalam Ikatan Relawan Rakyat.
Rela maklum tentang kegusaran orang ramai dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta 752 berkuat kuasa.
Rela turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang secara sengaja memproses atau menggunakan data peribadi seseorang bagi tujuan tertentu tanpa mendapat kebenaran individu terbabit.
“Rela juga dalam usaha melaksanakan program pemutihan keanggotaan di mana anggota yang tidak aktif dan telah mencapai tempoh lima tahun akan ditamatkan keanggotaan.
“Walau bagaimanapun, program pemutihan keanggotaan berdasarkan Seksyen 9 akta ini digantung sementara kerana Rela sedang menumpukan usaha untuk melawan wabak COVID-19,” jelas agensi tersebut.
Anggota yang masih berminat untuk menyambung keanggotaan boleh berbuat demikian dengan memaklumkan secara bertulis kepada Ketua Pengarah Rela.
Bagi individu terbabit yang mendapati telah didaftarkan sebagai anggota Rela dan ingin menamatkan keanggotaan, mereka boleh menghubungi talian 03-88703770 atau e-mel kepada [email protected] untuk berbuat demikian. – EDISI 9