28 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Terima seorang tamu, ADUN Jabi kena kompaun langgar SOP

Mesti Baca

CYBERJAYA – Gara-gara menerima seorang tetamu yang juga jirannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 1 Syawal.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri telah hadir di ibu pejabat polis daerah (IPD) Besut dan menerima tawaran kompaun.

“Alhamdulillah, hadir memberi keterangan kepada ASP Syed Mohammad, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Besut dan menerima surat Tawaran Untuk Mengkompaun Kesalahan.

“YB (Yang Berhormat) juga dihukum sebagaimana rakyat biasa, dengan kadar tawaran kompaun sama. Insya Allah akan dijelaskan seberapa segera. Tiada siapa yang berada di atas undang-undang,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Azman sebelum itu memberitahu, beliau menerima kunjungan seorang jiran di rumahnya pada hari pertama Aidilfitri tetapi bukan bermakna beliau mengadakan majlis rumah terbuka seperti mana larangan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Tak ada buat rumah terbuka pun. Adalah seorang, dua rakyat yang datang ke rumah, sebagaimana hari-hari biasa rakyat mari rumah atas pelbagai urusan.

“Di sinilah dilema seorang kuli rakyat macam ambe (saya). Tak munasabah kita nak tutup pintu dan kunci kemas, kemudian suruh rakyat balik kerana ziarah raya tak dibenarkan, sedangkan hari-hari lain dalam tempoh PKP, selalu saja rakyat mari rumah.

Advertisements

“Juga tak munasabah rakyat berdekatan mari ke rumah, kita tak angkat walaupun segelas air. Musim raya ini adalah juga ketupat sebiji dua, walaupun bukan juadah penuh meja,” katanya.

Dalam pada itu, Azman memberitahu, jirannya yang berkunjung pada pagi 1 Syawal adalah staf pejabat ADUN dan sering membantunya dalam urusan harian itu turut dikenakan kompaun.

Katanya, dia mengaku tidak peka dengan SOP terbaharu yang dikuatkuasakan kerana sebelum ini ziarah 1 Syawal dibenarkan dengan tidak melebihi 15 orang.

“Sedikit terkhilaf tak akan melupakan kita dengan begitu banyak kebaikan yang dicurahkan sebelum ini.

“Ambe sebagai ketua mengambil tanggungjawab penuh. Kompaun Pok Yas (Zakaria Mahmud) pun tanggungjawab ambe untuk selesaikan. Kepada Allah kita berserah,” katanya.

PKP 3.0 dilaksanakan di seluruh negara mulai kelmarin hingga 7 Jun ini, dengan sekolah ditutup dan aktiviti sosial, termasuk ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur ketika Aidilfitri tidak dibenarkan.

Sementara itu Bernama melaporkan, Azman dan tetamunya itu dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Agong, Permaisuri zahir rasa sedih tragedi nahas helikopter TLDM

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa sedih atas tragedi nahas dua...

Lagi Artikel Berkaitan