31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Kesihatan awam tenat, CUEPACS gesa PKP menyeluruh

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh berikutan situasi jangkitan positif COVID-19 yang semakin meruncing di negara ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, pandemik COVID-19 telah memberi cabaran yang besar kepada penjawat awam yang bertugas di barisan hadapan sebagai petugas kesihatan dan juga lain-lain agensi yang terlibat secara langsung.

Menurut beliau, hari ini sahaja kes telah mencatatkan angka yang sangat menakutkan iaitu 6,075 kes dan situasi itu telah mengubah landskap penjagaan kesihatan di Malaysia secara drastik.

“Perkhidmatan kesihatan Kementerian Kesihatan yang merupakan tulang belakang kesihatan rakyat Malaysia telah dibebankan dengan pelbagai jenis cabaran baru akibat penularan COVID-19 yang semakin buruk.

“Doktor dan petugas kesihatan diwajibkan ‘on call’ setiap masa yang mana prosedur ini telah berterusan selama lebih setahun sehingga kehilangan keseimbangan antara kehidupan dan waktu kerja,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Adnan menambah, keadaan itu bukan sahaja tidak bagus untuk pekerja tersebut kerana memberi tekanan yang serius kepada fizikal dan mental, bahkan kepada rakyat sendiri apabila mereka mungkin tidak akan dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

Beliau memberitahu, kekurangan petugas kesihatan selain fasiliti dan kemudahan yang terpaksa disalurkan kepada rawatan untuk COVID-19 boleh mengakibatkan pesakit-pesakit lain terabai serta tidak mendapat layanan sewajarnya.

“Selain itu petugas kesihatan ini juga berhadapan risiko jangkitan COVID-19 selain berpotensi untuk menjangkiti pesakit lain yang menerima rawatan bukan COVID-19,” jelasnya.

Sehubungan itu, Adnan berkata, sebagai mendengar denyut nadi dan rintihan petugas kesihatan, CUEPACS menggesa kerajaan melaksanakan PKP secara penuh di seluruh negara sekurang-kurangnya bagi tempoh 21 hari sahaja.

Menurut beliau, gesaan itu dibuat memandangkan situasi semasa yang menyaksikan perkhidmatan kesihatan negara berhadapan dengan cabaran yang terlalu dahsyat untuk merawat pesakit COVID-19 dan dalam masa yang sama perlu mengendalikan lain-lain pesakit.

“Tempoh 21 hari itu adalah tempoh yang paling minimum bagi membolehkan langkah paling drastik dilaksanakan kerajaan untuk mengekang penularan COVID-19.

“Sekiranya kerajaan masih lagi menggunakan prosedur operasi standard (SOP) semasa bagi mengekang penularan COVID-19, CUEPACS bimbang perkhidmatan kesihatan negara akan menjadi lumpuh sekali gus mengundang darurat kesihatan yang serius kepada negara,” katanya.

Adnan berkata, SOP sedia ada yang dilaksanakan dalam PKP 2.0 dan PKP 3.0 ketika ini dilihat tidak berkesan mengurangkan jangkitan COVID-19 bahkan ia dilihat semakin meningkat setiap hari.

“Trend peningkatan kes disebabkan terdapat banyak pergerakkan orang ramai yang tidak dapat dikawal berikutan kepentingan atau permasalahan ekonomi.

“Di samping itu terdapat juga kelemahan masyarakat dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan.

“SOP yang sentiasa berubah dan tidak seragam telah mengelirukan rakyat.

“Lebih mendukacitakan pengumuman pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) di kawasan berisiko tinggi diumum lebih awal hingga memberi kesempatan masyarakat keluar daripada kawasan PKPD yang boleh menyebabkan penularan kes berlaku di kawasan luar,” jelasnya.

Beliau menambah, pelaksanaan PKP secara penuh seperti 18 Mac 2021 mungkin nampak terseksa kepada rakyat tetapi lebih menyeksakan lagi adalah pelaksanaan PKP ‘sekejap buka sekejap tutup’ yang menyaksikan ekonomi semakin perlahan, pendidikan anak-anak terabai dan kadar pengangguran meningkat.

“Ditambah lagi dengan penularan varian berbahaya dari Afrika dan India di Malaysia ketika ini, PKP penuh ini diyakini dapat memastikan negara kembali di landasan yang terbaik,” katanya.

Pada masa yang sama, Adnan memberitahu, CUEPACS turut menggesa menteri dan kementerian yang terlibat mengawal harga barangan keperluan harian supaya tiada pihak memanipulasi harga sekiranya PKP penuh dilaksanakan.

Beliau berkata, kerajaan juga wajar memberi bantuan kewangan kepada isi rumah yang terjejas sebagai bantuan ekoran pelaksanaan PKP.

“Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan perlu mewajibkan bank-bank melaksanakan semula moratorium penuh seperti tahun lalu kepada semua peminjam selama tiga bulan sebagai inisiatif mengurangkan kesan ekonomi serta kepada individu dan organisasi.

“Semua agensi kerajaan termasuk Baitulmal perlu turun padang agihkan makanan keperluan kepada semua rakyat tanpa ada seorang pun yang tertinggal,” katanya. – EDISI 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan