25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

6,075 kes positif baharu, masa untuk PKP menyeluruh?

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Situasi pandemik COVID-19 di negara ini semakin membimbangkan apabila jumlah jangkitan kes positif baharu mencatatkan angka tertinggi setakat ini iaitu sebanyak 6,075 kes.

Maklumat itu dikongsi oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam laman Facebook beliau, hari ini.

Selangor masih kekal sebagai negeri yang merekodkan kes positif baharu tertinggi iaitu sebanyak 2,250 kes diikuti Johor (699 kes) dan Kuala Lumpur (660 kes).

Kedah pula mencatatkan 445 kes diikuti Kelantan (441 kes), Sarawak (323 kes), Perak (220 kes), Terengganu (203 kes), Negeri Sembilan (189 kes), Pulau Pinang (183 kes) dan Sabah (160 kes).

Selain itu, sebanyak 150 kes direkodkan di Pahang diikuti Melaka (122 kes), Labuan (14 kes), Putrajaya (9 kes) dan Perlis (6 kes).

Berikutan peningkatan kes yang mendadak setiap hari, timbul gesaan dalam kalangan rakyat agar kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh.

Mereka percaya langkah itu mampu mengekang penularan COVID-19 seperti yang berjaya dicapai selepas pelaksanaan PKP yang ketat tahun lalu.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, PKP secara menyeluruh mungkin dikuatkuasakan di Selangor berikutan situasi harian COVID-19 yang melebihi 1,000 kes jangkitan positif baharu di negeri berkenaan ketika ini.

Menurut beliau, kementeriannya akan mengemukakan cadangan pelaksanaan PKP di Selangor sekiranya langkah-langkah sedia ada tidak dapat mengekang lonjakan kes baharu.

Beliau juga bersetuju agar prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dikuatkuasakan di Selangor.

“Ia juga membenarkan kita melaksanakan pengesanan kontak lebih cepat dan melaksanakan keseluruhan pencegahan dan kawalan kesihatan awam.

“Namun saya bersetuju bahawa kita perlu mencadangkan kepada kerajaan supaya SOP lebih ketat dilaksanakan.

“Jika membabitkan ketidakupayaan mengekang jangkitan, maka cadangan pelaksanaan PKP penuh boleh dipertimbangkan,” katanya dalam sidang media mingguan secara maya.

Walau bagaimanapun, Selangor menolak cadangan PKP secara menyeluruh dan mendakwa pengurusan COVID-19 di negeri itu pada tahap terbaik.

Pengerusi Pasukan Petugas COVID-19 Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam sidang media hari ini menafikan dakwaan kerajaan negeri Selangfor gagal mengawal penularan pandemik berkenaan.

Beliau berkata, Selangor masih mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) rendah iaitu 1.14 berbanding enam negeri lain seperti Pahang dan Kedah.

Bekas Menteri Kesihatan era Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa, Pahang merekodkan Rt tertinggi iaitu 1.26 diikuti Kedah (1.24), Perak (1.22), Terengganu (1.20), Putrajaya dan Negeri Sembilan (1.16).

“Angka akan tetap tinggi tetapi adakah kita terbeban secara teruk sehingga kita mahu laksanakan PKP menyeluruh? Kita menolak keperluan itu tetapi perlu ada usaha untuk meminimumkan kesan terhadap rakyat yang terbeban ketika ini.

“Jangan jadikan ‘lock down’ jalan mudah kerana kegagalan kita urus PKP 2.0 contohnya. Kematian juga semakin hari semakin tinggi mencanak,” katanya. – EDISI 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan