26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Majikan cuba tipu insentif Penjana Kerjaya 2.0

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Siasatan awal Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mendapati ada majikan yang tidak bertanggungjawab cuba membuat permohonan palsu Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, rekod PERKESO mendapati caruman pekerja telah dibayar oleh majikan.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, langkah itu merupakan satu taktik yang diguna pakai bagi mematuhi syarat kelayakan dalam permohonan program ini.

“Pihak majikan juga didapati telah membuat penipuan dokumen setelah borang pengesahan diterima oleh pegawai PERKESO, dengan 36 orang pekerja menandatandatangani dan mengesahkan bahawa mereka masih bekerja di syarikat terbabit.

“Kes ini kini dalam siasatan Anti-Fraud, Cawangan Etika dan Pematuhan dan sekiranya perlu akan dirujuk kepada agensi penguat kuasa,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Penjelasan itu diberikan ekoran kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berhubung dakwaan penyalahgunaan maklumat peribadi pekerja dan tuntutan palsu oleh pihak majikan bagi memohon insentif kewangan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi menerusi Program Penjana Kerjaya daripada kerajaan, semalam.

Saravanan menambah, minggu lepas, PERKESO juga telah mengesan satu video yang mendakwa kewujudan sindiket yang melibatkan sebuah syarikat yang dituduh menggunakan data pekerja untuk mendapatkan insentif Penjana Kerjaya 2.0.

Beliau memberitahu, video tersebut juga memaparkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, Kamache Doray Rajoo.

“Pihak PERKESO juga telah menasihatkan Kamache Doray Rajoo untuk membuat laporan polis dengan kadar segera untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Saravanan menegaskan bahawa mana-mana majikan yang membuat pemalsuan maklumat dan menggunakan data peribadi individu tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau juga mengarahkan PERKESO untuk meminta majikan memulangkan semula semua wang yang telah dibayar kepada majikan tersebut sekiranya terdapat sebarang unsur pemalsuan.

“Selain itu, KSM menerusi PERKESO terus komited untuk melaksanakan amanah yang diberikan Kerajaan selain memberi jaminan bahawa data peribadi yang diterima oleh PERKESO tidak pernah diberikan atau dikongsi kepada pihak ketiga.

“Saya menyeru semua pencari kerja tidak berkongsi sebarang maklumat peribadi melalui medium WhatsApp ataupun media sosial.

“Majikan pula dinasihatkan untuk membuat permohonan insentif melalui Sistem Penjana Kerjaya di laman sesawang penjanakerjaya.perkeso.gov.my secara terus, dan tidak melalui mana–mana ejen,” katanya.

Saravanan berkata, PERKESO tidak pernah melantik mana-mana orang tengah untuk menguruskan permohonan program itu.

Menurut beliau, Bahagian Perundangan KSM akan bekerjasama dengan PERKESO untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas majikan yang tidak mematuhi syaratsyarat yang ditetapkan.

“Sehingga 18 Mei 2021, pihak PERKESO telah menerima 1,758 kes aduan melibatkan bayaran yang meragukan dan isu bayaran gaji pekerja.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,231 kes aduan didapati tidak berasas manakala, sebanyak 340 kes disyaki tuntutan palsu dan salah guna.

“Baki 187 kes pula masih dalam siasatan untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Saravanan berkata, PERKESO juga telah menerima sejumlah RM 85.1 juta melibatkan lebih daripada 8,000 majikan yang gagal memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di bawah Program Subsidi Upah dan telah membuat bayaran balik kepada PERKESO. – EDISI 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan