24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Kenapa kilang elektronik boleh operasi, ini jawapan MOF

Mesti Baca

CYBERJAYA – Kementerian Kewangan menjelaskan, pembukaan sektor elektrikal dan elektronik (E&E) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau lockdown adalah bagi membolehkan operasi berterusan infrastruktur kritikal di seluruh dunia.

Dalam satu kenyataan kementerian itu berkata, antara lainnya, peralatan penjagaan kesihatan dan perubatan, sistem bekalan air dan grid tenaga, serta rangkaian pengangkutan dan telekomunikasi.

Kata kementerian tersebut, komponen E&E yang dihasilkan di Malaysia juga telah memudahkan e-dagang dan pekerjaan jarak jauh dalam norma baru.

“Malaysia juga merupakan pemain utama dalam rantaian nilai global E&E. Sektor E&E menyumbang 40 peratus (atau RM386 bilion) kepada eksport tahunan Malaysia, dan kira- kira 7 peratus perdagangan semikonduktor global.

“Sebagai contoh, Malaysia memainkan peranan yang kritikal sebagai pengeluar tunggal substrat aluminium untuk semua pemacu cakera keras yang dikeluarkan sebuah kilang di Johor yang kemudiannya akan dibekalkan melalui rantaian bekalan global syarikat tersebut.

“Tambahan pula, pada 2020, sekitar RM15 bilion pelaburan baru di sektor E&E telah diluluskan, yang akan mewujudkan 20,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan ada pihak yang mempertikaikan kepada kilang E& E masih dibenarkan beroperasi ketika pelaksanaan PKP penuh selama 14 hari ini mulai esok.

Pihak berkenaan termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membangkitkan persoalan itu kerana menganggap ia tidak wajar memandangkan sektor tersebut mempunyai 600,000 pekerja yang mungkin akan menyebabkan usaha menghalang penularan Covid-19 gagal.

Bagaimanapun Kementerian Kewangan menjelaskan, untuk mengurangkan risiko penularan Covid-19, kerajaan melalui pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih rapi, akan memastikan kilang E&E berkenaan mematuhi SOP dengan tegas, dengan had kehadiran fizikal di tempat kerja sehingga 60 peratus.

“Sebarang penutupan walaupun untuk jangka masa pendek, bukan sahaja akan menjejaskan bekalan keperluan industri di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia, terutamanya dalam keadaan pandemik Covid-19 yang mencabar.

“Ini juga akan memberi kesan jangka panjang di mana perdagangan dan pelaburan beralih dari Malaysia, dan menjejaskan daya saing Malaysia dalam rantaian nilai global.

“Kita sudah pun mengalaminya semasa PKP 1.0, apabila pelbagai pengeluar Malaysia melaporkan bahawa pesanan mereka telah dialihkan ke negara pengeluar lain termasuk China,” kata kenyataan itu.

Advertisements

Mengenai senarai sektor yang dibenarkan beroperasi sepanjang PKP 3.0, Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa pembukaan berterusan sektor-sektor tersebut sangat penting untuk mencegah kegagalan rantaian bekalan bagi produk dan perkhidmatan yang perlu, bagi menjaga kesejahteraan rakyat.

“Walaupun ada keperluan untuk mengawal pandemik Covid-19 secara efisien, terdapat juga keperluan untuk mencegah gangguan terhadap rantaian nilai sektor pembuatan yang mampu mengancam pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang berterusan untuk industri-industri penting seperti makanan, penjagaan kesihatan/peralatan perubatan, farmaseutikal, sabun dan bahan pencuci (terutamanya dalam konteks menjaga kebersihan semasa wabak ini) dan telekomunikasi.

“Berasaskan pengajaran daripada PKP 1.0, Kerajaan juga akan membenarkan rantaian nilai barang-barang keperluan, seperti pembungkusan dan pelabelan, untuk beroperasi,” kata kementerian itu.

Kementerian Kewangan itu juga menegaskan, rantaian bekalan adalah ekosistem yang kompleks yang terdiri daripada sumber manusia, proses,operasi, teknologi dan maklumat yang menghubungkan pengeluar dan pembeli melalui rangkaian entiti dan sumber yang berkaitan.

“Untuk berfungsi dengan lancar, semua elemen di dalam ekosistem ini perlu bergerak seiring untuk memastikan kecekapan.

“Keputusan MKN baru-baru ini mengenai sektor yang dibuka semasa PKP 3.0 merangkumi sektor ekonomi yang strategik seperti industri aeroangkasa, minyak dan gas, pembuatan serta E&E,” kata kementerian tersebut.

Secara amnya, kata kementerian itu lagi, sektor perkhidmatan yang menyumbang 57.3 peratus dari KDNK S1 2021, tidak dibenarkan untuk beroperasi, walaupun kerajaan secara umumnya membenarkan pelbagai sektor untuk beroperasi, banyak juga yang telah ditutup.

“Sebagai contoh, di sektor runcit, hanya 11 kategori runcit penting, seperti pasar raya, dibenarkan beroperasi, sementara lebih daripada 20 kategori lain termasuk kedai elektrik, barang kemas, pendandan rambut, bilik pameran kereta kini tidak akan dibenarkan beroperasi.

“Dalam sektor pembinaan pula, hanya pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan yang kritikal sahaja dibenarkan untuk beroperasi. Ini sejajar dengan fokus Kerajaan untuk mengurangkan jumlah serta pergerakan orang ramai di tempat-tempat awam,” kata kementerian itu lagi.

Kementerian Kewangan terurut mengingatkan, semua bahawa pendekatan menyeluruh kita sebagai sebuah negara atau whole-of-nation approach adalah sangat penting dalam usaha mengatasi wabak ini.

“Oleh itu, semua rakyat dan perniagaan diminta untuk memainkan peranan mereka dan mematuhi SOP bagi membantu memutuskan rangkaian jangkitan,” kata kenyataan itu. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan