24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Tarik balik artikel fitnah atau kami saman – LGMPC

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – LGM Properties Corporation (LGMPC)menuntut pengendali laman Facebook Sedar Malaysia dan laman sesawang negaramerdeka.com menarik balik penyiaran artikel yang didakwa memfitnah perbadanan di bawah Lembaga Getah Malaysia (LGM) itu.

Perbadanan tersebut dalam kenyataan media hari ini berkata, pengendali kedua-dua laman terbabit diberi masa 48 jam untuk berbuat demikian.

Menurut perbadanan itu, mereka juga mesti tampil menyatakan permohonan maaf secara terbuka dan disiarkan di saluran media arus perdana, media-media sosial dan laman sesawang terlibat.

“LGMPC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya pihak yang bertanggungjawab gagal melaksanakan tuntutan-tuntutan LGMPC seperti tersebut di atas,” katanya.

Pada 29 Mei lalu, satu artikel mengaitkan perbadanan berkenaan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Ariffahmi Ab Rahman telah tular dalam laman Facebook Sedar Malaysia serta laman sesawang negaramerdeka.com.

Artikel yang diterbitkan berbaur tuduhan, dakwaan, fitnah, tohmahan dan tidak berdasarkan pada fakta yang tepat berkaitan hal-hal sulit berkaitan perbadanan tersebut.

Pernyataan fitnah tersebut juga telah tersebar secara meluas melalui perkongsian orang ramai dalam media sosial, laman sesawang dan jaringan komunikasi.

LGMPC memandang serius pernyataan fitnah tersebut dan secara spesifik menafikan setiap pernyataan fitnah yang terkandung dalam artikel yang diterbitkan.

Advertisements

Kata perbadanan itu, dakwaan dalam artikel tersebut adalah secara terang-terangan berniat jahat bertujuan untuk menjatuhkan reputasi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, LGMPC dan Ariffahmi.

“LGMPC menafikan sekeras-kerasnya tindakan penyebaran artikel yang mengandungi pernyataan fitnah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan menggesa orang ramai untuk tidak mempercayai fakta-fakta palsu yang disampaikan demi kepentingan peribadi atau alat mainan politik pihak-pihak tertentu,” jelasnya.

Perbadanan itu turut memaklumkan bahawa ia adalah perbadanan yang tertakluk di bawah Akta Lembaga Getah Malaysia (Perbadanan) 1996, di mana segala aktiviti, pengurusan dan transaksi melibatkan LGMPC adalah berpandukan kepada pematuhan undang-undang Malaysia dan secara spesifik berada di bawah pemantauan serta penyeliaan LGM.

Justeru, LGMPC menegaskan, tidak sewajarnya timbul isu berkaitan dakwaan salah urus tadbir, penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa seperti yang dibangkitkan dalam pernyataan fitnah tersebut.

“Pelantikan Ariffahmi telah mengikut Peraturan-peraturan Lembaga Getah Malaysia (LGM Properties Corporation) 2001 dan beliau mula bertugas mulai pada 25 Januari 2021.

“Kenyataan ini secara tidak langsung menyangkal pernyataan fitnah dalam artikel tersebut yang telah memetik peristiwa dalam rangka masa sebelum beliau memulakan perkhidmatan di LGMPC.

“Selama empat bulan perkhidmatan, beliau telah berjaya merencana, menyusun semula dan melaksanakan strategi perniagaan baharu demi meningkatkan pendapatan LGMPC,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan