CYBERJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru kepada semua ahli parti itu agar tidak terikut-ikut dengan taktik kotor lawan menabur fitnah untuk menjatuhkan musuh politik.
Menurut beliau, tohmahan terhadap parti keramat itu mesti ditangkis dengan fakta yang tepat.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberitahu, pemimpin-pemimpin UMNO tidak mempunyai sikap yang sama seperti kepimpinan pihak lawan.
“Jika kita tidak menangkisnya, persepektif negatif akan terus dimainkan pihak lawan untuk menahan UMNO daripada bangkit.
“Ahli UMNO sangat memahami. Dunia digital hari ini semuanya boleh dibuat-buat. Video, foto dan panggilan suara boleh direka kerana sudah ada aplikasi,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.
Ahmad Zahid turut mengingatkan kembali bahawa Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018 angkara media sosial.
Beliau menambah, pelbagai dakyah, fitnah, perspekif negatif dan cerita tokok tambah diada-adakan pihak lawan untuk menjadikan rakyat benci kepada UMNO serta BN dan ia berterusan hingga kini.
“Apabila mereka menang PRU-14, maka rakyat menilai apa yang mereka lakukan. Inilah yang dikatakan pemerintahan dan kemenangan berasaskan fitnah.
“Sehinggakan pada masa itu sebuah parti politik menawarkan peluang pekerjaan kepada cybertrooper dengan bayaran ribuan ringgit sebulan.
“Mereka iklankan pekerja menggunakan Jobstreet. Misi mereka memburuk-burukkan UMNO dan menyebarkan fitnah,” jelasnya.
Ahmad Zahid berkata, serangan itu masih berlarutan sehingga saat ini.
Beliau memberitahu, walaupun UMNO hanya membentuk kerajaan dan tiada kuasa pemerintahan mutlak, mereka masih melakukan perkara sama.
“Kerana apa, tidak mahu kita bangkit, mahu melemahkan kita dan mahu terus memastikan rakyat membenci kita.
“Sedangkan rakyat sudah menilai pengorbanan dan sumbangan BN pada agama, bangsa dan tanah air. Mereka menilai kepimpinan 22 bulan dan setahun,” ujarnya.
Ahmad Zahid juga percaya bahawa ahli-ahli UMNO sangat memahami keadaan UMNO serta kewangan dan situasi parti tersebut pada saat ini.
Beliau mendakwa, wujud halangan terhadap UMNO selain akaun dibekukan dan ada usaha untuk membubarkan parti.
“Saya menyeru kepada ahli UMNO sekalian. Gerakkanlah media sosial kita. Pada masa ini hanya kesetiaan dan keikhlasan boleh dituntut.
“Kita perlu mara menangkis tohmahan dan fitnah,” katanya. – EDISI 9

