32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Terpedaya dengan iklan pinjaman di web, gadis rugi RM10,107

Mesti Baca

JOHOR BAHRU – Niat seorang gadis untuk mendapatkan pinjaman RM10,000 daripada sebuah syarikat pemberi pinjaman dalam talian berakhir dengan dirinya pula ditipu sehingga kerugian sebanyak RM10,107.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ira terpedaya dengan taktik pemberi pinjaman itu yang meminta bermacam-macam pembayaran tambahan, deposit, fee dan tawaran sehingga wangnya pula yang lesap ‘disedut’ syarikat itu.

Memetik laporan Bebasnews, Ira dikatakan memohon pinjaman sebanyak RM10,000 selepas melihat iklan dalam sebuah laman web syarikat SS Maju yang menawarkan pinjaman secara dalam talian pada 13 April lalu.

“Saya dikehendaki mengisi maklumat dan jumlah pinjaman sebelum seorang lelaki bermakna Shawn menghubungi saya meminta wang RM600 sebagai duit pemprosesan.

“Selepas itu, kawan Shawn bernama Elvin menghubungi saya meminta pembayaran pendahuluan untuk enam bulan sebanyak RM1,962,” katanya yang mengadu di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, di sini.

Ira yang bekerja sebagai pengasuh memohon pinjaman tersebut untuk membantu datuknya yang sedang sakit selain kegunaan bagi perkahwinannya pada bulan depan.

Setelah membayar wang pendahuluan itu, seorang lelaki bernama Kenneth pula menghubunginya memaklumkan permohonannya tidak layak kerana rating kredit yang rendah.

“Kenneth menawarkan bantuan tetapi saya perlu membayar lagi wang untuk menaikkan rating kredit itu supaya permohonan saya lulus,” ujarnya.

Selepas itu, pengurus syarikat itu menghubunginya meminta dia meminjam sebanyak RM20,000 dan meminta bayaran RM2,000 untuk surat perjanjian peguam.

“Namun, apabila saya meminta membatalkan pinjaman itu saya diarah membayar denda dan pengurus itu mengugut pula,” katanya.

Dia sudah membuat lapan transaksi dalam talian membabitkan wang sebanyak RM10,107 dan wang itu diperoleh dengan meminjam daripada majikannya dan keluarga.

Transaksi tersebut berlaku dalam tempoh 13 hingga 17 April lalu dan syarikat pemberi pinjaman itu senyap hingga kini.

Sementara itu, ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung memberitahu, Ira sebenarnya telah ditipu oleh sindiket penipuan yang mencari mangsa menerusi pinjaman dalam talian.

“Saya telah menerima banyak aduan mengenai kes penipuan seperti ini dan saya meminta orang ramai lebih berhati-hati.

“Pihak polis dan kerajaan juga diharap mengambil tindakan segera membendung kegiatan ini kerana syarikat itu masih aktif dalam talian nombor telefon suspek terlibat masih aktif dan boleh dikesan,” katanya.

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu: Calon PH/BN wakili kerajaan perpaduan

CALON Pakatan Harapan/Barisan Nasional (PH/BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan mewakili...

Lagi Artikel Berkaitan