26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Tipu RM40,000 selesai kes, dua pegawai SPRM didakwa

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DUA pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri ini didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menipu seorang penguat kuasa untuk menyerahkan RM40,000, bagi menyelesaikan kesnya yang disiasat agensi berkenaan, Khamis lalu.

Memetik laporan Harian Metro, tertuduh pertama, Amir Izham Shahak, 32, Penolong Penguasa P29 SPRM Kluang, mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh kedua, Wan Kamarul Zaim Wan Mansor, 34, Penguasa P42 SPRM Johor Bahru pula, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Kedua-dua tertuduh itu didakwa secara bersama-sama sebagai ejen kerajaan iaitu Penolong Penguasa P29 SPRM Kluang dan Penguasa P42 di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Cawangan Kluang dan SPRM Johor Bahru, bagi mencapai niat bersama telah menipu dengan memperdayakan seorang individu.

Ia bagi membolehkan kedua tertuduh itu dengan curangnya mendorong individu berkenaan untuk menghantar harta iaitu wang tunai RM40,000 kepada mereka, kononnya kedua tertuduh boleh membantu untuk menyelesaikan kes yang disiasat SPRM terhadap individu berkenaan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan di Jalan Benut, Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam, kira-kira jam 7.57 malam, 14 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala Amir Izham diwakili peguam, Mohd Salleh Togimin dan Wan Kamarul Zaim pula diwakili peguam, Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan RM35,000 terhadap kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin manakala pasport antarabangsa mereka perlu diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Mohd Azlan Shah yang mewakili Wan Kamarul Zaim, memohon mahkamah memberikan jaminan RM10,000 kepada tertuduh berikutan dia perlu menanggung isteri yang hamil tiga bulan serta empat anaknya.

“Tertuduh masih berkhidmat dengan SPRM sejak 12 tahun lalu dan hanya mampu membayar RM10,000 jaminan hari ini,” katanya.

Hakim kemudian memerintahkan Wan Kamarul Zaim dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan 24 November depan bagi pengurusan kes.

Peguam tertuduh pertama, Mohd Salleh Togimin turut memohon mahkamah supaya keputusan kes Amir Izham, yang masih berkhidmat dengan SPRM sejak tujuh, ditangguhkan ke tarikh lain.

Mahkamah kemudian memutuskan keputusan kes tertuduh pertama itu disebut pada 24 November depan.

Amir Izham turut dibenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsanya diperintahkan diserah pada mahkamah.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan