27.6 C
Kuala Lumpur
Friday, December 3, 2021

37 usahawan jutawan akan berkongsi resepi kejayaan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 37 usahawan jutawan bergabung tenaga dan berkongsi resipi kejayaan masing-masing dalam program Wanita Bangkit Berniaga (WBB) yang akan diadakan selama tiga hari bermula 26 November nanti.

Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks International), Radz Mohd berkata, sesi selama tujuh jam setiap hari secara percuma Oitu akan diadakan secara dalam talian.

“Kami menyasarkan seramai 20,000 wanita menyertai sesi webinar ini. Sesi pembelajaran akan bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang dan secara keseluruhan peserta akan terlibat dalam enam sesi.

“Ini adalah antara cara RichWorks International membantu masyarakat terutamanya wanita kembali melihat potensi diri. Seramai 37 usahawan jutawan daripada pelbagai latar belakang yang telah terbukti berjaya akan bercakap dan berkongsi kisah unik masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Program Wanita Bangkit Berniaga yang dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun di Ibu Pejabat Noir Health & Beauty di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam majlis yang sama, Rina menyaksikan sesi menandatangani dokumen kolaborasi strategik RichWorks International bersama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

RichWorks International juga menandatangani kerjasama bersama sebahagian daripada 37 usahawan jutawan yang terlibat dalam program Wanita Bangkit Berniaga.

Antara lain, program yang bertemakan Tangan Yang Menghayun Buaian Boleh Menggoncang Dunia itu bermatlamat untuk meningkatkan pendapatan bulanan isirumah dan memperkasa wanita melalui peningkatan pengetahuan dan kemahiran.

Tambah Radz, program Wanita Bangkit Berniaga akan berkongsi teknik dan strategi betul, bagaimana mereka boleh membina bisnes yang berjaya di samping bermentor secara berterusan.

“Kami di RichWorks International mahu memberi peluang kepada wanita untuk mengenal pasti dan memaksimumkan potensi diri untuk menaik taraf hidup dalam keadaan ekonomi yang mencabar kini terutama selepas ditekan pasca Covid-19.

Baca juga:   Lepaskan jawatan di MISC, Noh kini Pengerusi PUNB

“Kadangkala wanita ini tidak menyedari mereka sebenarnya ciptaan Allah yang luar biasa. Peranan 27 usahawan jutawan yang merupakan anak didik Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman adalah untuk meyakinkan peserta Wanita Bangkit Berniaga untuk beroleh keyakinan diri dan meneruskan hidup berdikari melalui bisnes,” jelasnya.

Baca juga:   Dahulu jurufoto, kini usahawan tauhu bergedil

Memperincikan program tersebut, Radz memberitahu, program Wanita Bangkit Berniaga menyasarkan golongan berpendapatan tinggi, golongan berpendapatan sederhana dan golongan berpendapatan rendah/terjejas.

Antara usahawan jutawan yang akan tampil memberi perkongsian dalam program Wanita Bangkit Berniaga ialah Pengasas Sabella, Siti Fatimah Abdul Samad dan suami, Nuraini Zolkepeli (Nurraysa), Kartika Wati Mohamad (Eksayvie), Eriyca Baiduri Abdul Rashid atau dikenali sebagai Madammu (Noir) dan ramai lagi.

Sementara itu Rina dalam ucapan perasmiannya berkata, kementeriannya berhasrat menjalin kerjasama dengan RichWorks International berikutan program-program latihan dan bimbingan yang dikendalikan terbukti berhasil.

“Syarikat RichWorks International yang saya kenali ini, merupakan institusi yang membimbing dan melatih usahawan terbesar di Malaysia. Khususnya dari segi penjenamaan, pemasaran dan kepimpinan.

“Dengan rekod prestasi terbukti, strategi perniagaan dan program mentoring, RichWorks International berjaya membantu, membina beribu-ribu usahawan dan jutawan yang berjaya dalam tempoh enam hingga 24 bulan.

“Untuk itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berhasrat mahu menjalin kerjasama dengan RichWorks International agar program serupa turut
dilaksanakan dalam keluarga besar kami,” kata beliau. – Edisi 9

Terkini

Trend kahwin lewat, kes cerai menurun antara perkongsian DOSM

JABATAN Perangkaan Malaysia (DOSM) berkongsikan maklumat penduduk di negara ini kini mula berkahwin pada usia lewat 20-an berbanding awal...

Lagi Artikel Berkaitan