RAMALLAH – Tentera rejim Zionis Israel melancarkan gerakan menahan rakyat Palestin di sekitar Tebing Barat mulai malam Khamis sehingga awal pagi tadi.
Memetik laporan Palestinian Information Center, Moamen Jaber, 24, ditahan di pos pemeriksaan Beit Furik, Nablus.
Mereka turut menyerbu pekan Salem di timur Sablus dan menggeledah beberapa rumah di sana.
Tentera rejim Zionis Israel juga menahan Naim Al-Shennawi selepas menyerbu kem pelarian Askar.
Naim merupakan anak kepada seorang tahanan Israel, Ahmed Al- Shennawi.
Pertembungan ganas meletus antara pemuda-pemuda Palestin dan tentera rejim menembak peluru hidup serta melepaskan bom pegun dan bom pemedih mata.
Beberapa rakyat Israel yang cedera dihantar ke Hospital Rafidia di Nablus.
Di Qalqilya, rakyat Palestin bertembung dengan tentera rejim Zionis ketika mereka menyerbu pekan Jayyus.
Di Ramallah, Ahmad al-Ghaliz dari kem pelarian Jalazoun ditahan di pos pemeriksaan Qalandia dan dibawa ke penjara Ofer.
Di Al-Khalil, tentera rejim menahan Hani Abu Al-Sebaa selepas memecah masuk dan menggeledah rumahnya.
Sementara itu, di Nablus, tentera rejim Zionis Israel menahan seorang lelaki Palestin ketika dia memandu melepasi pos pemeriksaan Za’tara petang semalam.
Menurut keluarganya, Hassan al-Shaer ditahan selepas keretanya digeledah.
Tentera rejim turut merampas kereta milik bapanya.
Insiden sedemikian sering berlaku di pos pemeriksaan Hawara dan Za’tara di mana pemuda-pemuda Palestin ditahan tanpa sebab.
Terdapat lebih 700 pos pemeriksaan tentera di Tebing Barat yang bertujuan menyekat pergerakan rakyat Palestin.