28.3 C
Kuala Lumpur
Monday, October 3, 2022

Percaturan politik jahat, Zahid nafi berbual dengan Anwar

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan sekeras-kerasnya berlaku perbualan telefon antara beliau dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang tular sejak semalam.

Malah, beliau menegaskan, tiada perbualan telefon antaranya dengan Anwar selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020 baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu amat kecewa dan terkejut dengan penyebaran audio yang kononnya merakamkan perbualan antara beliau dengan Anwar.

“Ini merupakan satu percaturan politik yang jahat dan jijik yang hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO.

“Saya percaya lebih banyak lagi permainan keji seperti ini akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan UMNO,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, sebagai Presiden UMNO, beliau tidak akan sesekali mencabuli apatah lagi membelakangi apa jua ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO.

“Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti dalang ‘scheme of thing’ ini,” jelasnya.

Baca juga:   Ronnie bantah gandingan Mahathir-Anwar

Setakat ini, Anwar masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu rakaman perbualan dengan Ahmad Zahid tersebut.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menganggap perbuatan menularkan rakaman perbualan telefon tersebut bermotifkan politik.

Beliau turut mempersoalkan sama ada rakaman tersebut tulen atau sebaliknya.

Baca juga:   Dua kali ditangguh, bicara kes rasuah Zahid 25 Ogos

“Apabila viral rakaman perbualan antara Zahid dan Anwar Ibrahim, itu angkara siapa?

“Kalau ia tulen, apakah Malaysia negara selamat apabila perbualan peribadi dirakam dan diviral?” jelasnya.

Mohd Puad turut mendakwa, rakaman dibuat dengan peralatan canggih kerana butiran perbualan adalah jelas dan berkualiti tinggi.

“Ia mesti menggunakan peralatan canggih yang orang biasa tidak akan mampu memilikinya.

“Apakah ini konspirasi ‘at the highest level’. Ini bukan kerja calang calang?” ujarnya. – EDISI 9

Wartawan

Terkini

14 akta diluluskan Parlimen dapat perkenan Agong

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan 14 akta termasuk Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022...

Lagi Artikel Berkaitan