25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 5, 2024

Kejayaan terbit Sukuk Kelestarian kebanggaan negara

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kejayaan kerajaan menerbitkan Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam dolar AS dengan jumlah AS$1.3 bilion adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui lebihan langganan sebanyak 6.4 kali, saiz terbitan asal dinaikkan daripada AS$1 bilion kepada AS$1.3 bilion.

Menurut beliau, berdasarkan permintaan yang menggalakkan, kerajaan juga berjaya menetapkan harga yang kompetitif bagi Sukuk Kelestarian.

“Ini jelas mencerminkan keyakinan pelabur dan keyakinan pasaran ke atas pemulihan dan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia walaupun kerajaan berdepan dengan cabaran getir akibat pandemik COVID-19 dalam tempoh setahun lepas.

“Ini juga membuktikan Malaysia berada di landasan yang tepat dalam pengurusan ekonomi ke arah pertumbuhan yang lebih mampan dan kukuh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan agensi-agensinya yang terlibat seperti Bank Negara Malaysia yang telah bekerjasama dalam menjayakan pemasaran dan terbitan Sukuk Kelestarian yang unik dan unggul dari sudut inovasi instrumen kewangan Islam.

Beliau yakin ia juga akan terus menyerlahkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran kewangan Islam global.

Advertisements

“Insya-Allah, Sukuk Kelestarian ini akan terus meletakkan kita di landasan pembangunan yang lebih lestari, mampan, berdaya tahan dan berdaya saing selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2020,” jelasnya.

Baru-baru ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan tentang kedudukan hutang negara ketika ini.

Beliau membangkitkan soalan tersebut ekoran pengumuman Kementerian Kewangan tentang kejayaan kerajaan menerbitkan sukuk berdaulat iaitu Sukuk Kelestarian bernilai AS$1.3 bilion.

“Apakah pinjaman dari pasaran tempatan berjumlah RM75 bilion dalam tempoh tak sampai empat bulan sahaja, tidak mencukupi sehingga terpaksa pula berhutang dari pasaran luar?

“Apakah penambahan hutang luar ini akan menyebabkan hutang negara melepasi had hutang 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta Hutang Negara yang diluluskan di Parlimen?,” soalnya.

Asyraf Wajdi menambah, persoalan-persoalan itu memerlukan jawapan yang tuntas untuk rakyat kerana rakyat pastinya tidak rela kerajaan berperisaikan Ordinan Darurat untuk berbelanja sesuka hati tanpa kelulusan dan pemantauan Parlimen. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Jangan terjebak perjudian perhubungan cinta ekspres

Oleh DR NORSAFATUL AZNIN A. RAZAK DALAM era moden yang serba pantas ini, hubungan percintaan sering kali terbentuk dengan begitu...

Lagi Artikel Berkaitan