25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Kartel monopoli tender kerajaan RM3.8 bilion tumpas

Mesti Baca

Tujuh suspek termasuk seorang ketua sindiket ditahan SPRM

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket kartel yang mengendalikan lebih 150 syarikat bagi memonopoli tender kerajaan bernilai RM3.8 bilion berikutan penangkapan ke atas tujuh suspek termasuk seorang yang dipercayai mengetuai sindiket berkenaan.

Memetik laporan portal FMT, satu sumber memberitahu, ketua sindiket tersebut mengawal lebih 150 buah syarikat yang digunakan untuk memasuki tender/sebut harga di kementerian dan agensi yang terlibat.

‘’Beliau dikatakan menggajikan individu-individu sebagai pengarah syarikat. Sindiket ini telah beroperasi sejak tahun 2014 hingga sekarang,” kata sumber itu.

Kata sumber itu lagi, sindiket menumpukan projek penyelenggaraan fasiliti dan projek pembangunan.

“Sindiket dipercayai mendapat kerjasama ‘orang dalam’ di kementerian dan agensi terlibat untuk memastikan syarikat di bawah kawalan beliau dibenarkan masuk tender dan memastikan salah satu daripadanya berjaya,” katanya.

Sumber itu memberitahu, kartel itu akan membayar rasuah “orang dalam” untuk mendapatkan maklumat berhubung tender, termasuk spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan “masa yang sesuai” untuk menghantar borang tender.

Sejumlah besar syarikat di bawah kartel itu kemudian akan memasuki tender mengikut harga yang berbeza-beza berdasarkan harga siling yang ditetapkan untuk “mengepung harga”.

“Sindiket ini menggunakan nama beratus individu untuk membuka syarikat di bawah naungannya.”

Kata sumber itu lagi, dipercayai butir kelayakan akademik dan kelayakan profesional bagi kebanyakan penama yang digunakan untuk menubuhkan syarikat adalah palsu, termasuk penyata kewangan syarikat mereka.

Katanya, SPRM membuat intipan dan pemantauan juga dijalankan di pusat operasi sindiket berkenaan malam tadi, dengan beberapa tangkapan dibuat.

“Hampir keseluruhan ahli sindiket berkumpul untuk mengisi borang tender. Serbuan SPRM mengejutkan semua yang hadir dan beberapa tangkapan dibuat,” tambah sumber itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan penangkapan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 dan 18 Akta SPRM 2009.
Azam tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

Kesemua suspek ditahan reman enam hari ini bermula hari ini 10 April oleh Mahkamah Majistret, Putrajaya. Perintahan tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan