28.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Jangan hentam kerajaan PN, beri pandangan positif

Mesti Baca

CYBERJAYA – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim meminta semua pihak memberi pandangan positif terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara ini,

Memetik laporan Harakahdaily, gesaan itu ditujukan khusus kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru-baru ini menyuarakan kehairanan apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih berada dalam kerajaan walaupun PN gagal menguruskan ekonomi dan COVID-19 dengan baik.

“Saya minta bekas bos saya dan kawan baik saya, Datuk Seri Najib supaya beri pandangan yang positif kepada kerajaan dan mengambil daya usaha bersama untuk menarik pelabur.

“Sebab dia bekas Perdana Menteri, sudah pasti (mempunyai) hubungan yang baik dengan pelabur-pelabur luar negara.

“Jadi (saya minta beliau) bagi sumbangan dalam bentuk yang boleh menggalakkan pelabur datang.

“Kita kena ingat, kalau kita hentam ganti kerajaan baru, kerajaan mana yang kita rasa hebat? Yang boleh menguruskan benda ini, sebab kena ingat sekarang ini bukan masa yang baik untuk semua negara. Saya ingat kerajaan dah buat yang terbaik,” katanya dalam sidang media semasa majlis berbuka puasa Pengerusi PR1MA bersama media di Kuala Lumpur, malam tadi.

Shahidan memberitahu, bekas Perdana Menteri Malaysia seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Najib, Tun Abdullah Badawi perlu memainkan peranan memberi pandangan yang positif kepada kerajaan selain menggalakkan pelabur-pelabur masuk ke Malaysia.

Menurut beliau, semua pihak perlu mencari jalan untuk membantu kerajaan dan pada masa yang sama, kerjaan juga seharusnya bersedia untuk dibantu.

Namun, sekiranya hal sebaliknya yang dilakukan, pelabur juga tidak akan berani membuat percaturan untuk masuk ke Malaysia.

“Semua pihak kena cari jalan untuk bantu kerajaan, dan kerajaan pula kena bersedia untuk dibantu, jangan kerajaan pula kalau kita nak tolong, tapi buat dak (tak tahu), tak boleh la.

“Kerajaan sekarang ini pun kena bersedia menerima apa-apa bentuk pandangan dan juga cadangan dari pelbagai pihak.

“Saya rasa kerajaan juga patut mengambil pandangan yang lebih positif tentang apa yang telah dicadangkan oleh Datuk Seri Najib, Datuk Seri Najib pun bagi pandangan positif,” jelasnya.

Sementara itu, Shahidan yang juga Pengerusi PR1MA berkata, tindakan segera akan diambil bagi menangani masalah kelewatan dalam pelaksanaan projek perumahan PR1MA di seluruh negara.

“Kita nak cepat tetapi kontraktor tidak boleh buat cepat. Kita sudah lantik kontraktor. Kalau kita nak buang dia, tidak boleh buang macam tu je, kena ikut proses undang-undang.

“Jadi bila kontraktor lambat kita akan ambil tindakan segera, lebih memudah cara. Sekiranya terdapat kekurangan pekerja kita cuba cari jalan supaya dia dapat pekerja.

“Bayaran tidak ada masalah dalam masa sama tiap-tiap minggu mereka boleh buat klaim dekat PR1MA dan PR1MA bayar terus,” ujarnya.

Beliau memberitahu, tiada keperluan untuk membatalkan projek itu memandangkan ia berdaya maju dan boleh dijual dengan cepat.

“PR1MA tidak perlu ditutup seperti yang diwar-warkan kerana membina rumah di tempat tidak strategik dan sebagainya.

“Mungkin ada dua kes yang kawasannya tidak berapa strategik tapi dia tidak melibatkan keseluruhan daripada PR1MA. Contohnya di Brickfields, saya percaya dalam masa seminggu jualan sudah memenuhi matlamat sebab di situ permintaannya tinggi,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, sehingga Mac lalu sebanyak 23,101 unit telah berjaya disiapkan dengan lebih 50 peratus daripadanya terjual.

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan