27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Buat tuduhan melulu, Lokman minta maaf daripada Annuar

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam memohon maaf tanpa syarat terhadap Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kerana membuat kenyataan salah dan tuduhan melulu terhadap beliau.

Kenyataan tersebut bertajuk ‘((GEMPAR)) WHATSAPP ANTARA ZAFRUL/ANNUAR MUSA/TAKIYUDDIN – PROJEK UNTUK IBU ZAFRUL & ANAK MUHYIDDIN disiarkan dalam laman Facebook, profil WhatsApp dan saluran YouTube milik Lokman pada 13 Disember lalu.

Beliau mengakui kenyataan yang dikeluarkannya itu adalah salah dan WhatsApp tersebut tidak berkaitan langsung dengan Annuar.

“Saya akui pengesahan maklumat yang saya buat adalah tidak tepat sehingga saya mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat.

“Saya juga akui maklumat yang saya terima adalah tidak tepat dan WhatsApp tersebut adalah di antara Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Tengku Zafrul, tiada kaitan langsung dengan Tan Sri Annuar Musa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lokman juga akur dengan kesilapannya yang menyebabkan nama baik, imej, integriti dan reputasi Annuar sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Ketereh tercemar, terjejas dan terpalit dengan komen-komen berbaur fitnah.

Beliau turut menyesali kesilapannya dan menarik balik keseluruhan kenyataan dan tuduhan terhadap Annuar dan beraku janji untuk tidak mengulangi pernyataan tersebut lagi.

“Sekali lagi, dengan tulus ikhlas saya memohon maaf kepada Tan Sri Annuar Musa atas kekhilafan saya,” jelasnya.

Sementara itu, Annuar dalam kenyataan media menyatakan beliau permohonan maaf yang dibuat Lokman atas kekhilafan dan kecuaiannya.

Beliau berkata, tindakan itu adalah bersesuaian dengan bulan Ramadan yang mulia di mana umat Islam dituntut memperbanyakkan ibadah dan melakukakan amar makruf serta saling memaafkan.

“Saya bersyukur Datuk Lokman Adam telah mengakui kesilapannya.

“Kepada Allah saya berserah. Menegakkan kebenaran dan berkata benar adalah satu kewajipan,” katanya.

Annuar juga memahami bahawa beliau sering menjadi sasaran fitnah dari berbagai pihak dan bersedia menggunakan haknya untuk menegakkan kebenaran menurut jalur undang-undang.

“Namun, tanpa prejudis, saya beranggapan permohonan maaf Datuk Lokman Adam kepada saya adalah ikhlas dan jujur,” ujarnya. – EDISI 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan