25.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 18, 2021

Bergaduh di luar restoran, 2 lelaki ditahan polis

Must Read

Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua lelaki yang dikenal pasti terlibat dalam insiden pergaduhan di luar sebuah restoran baru-baru ini.

Insiden tersebut mendapat perhatian meluas dalam kalangan netizen setelah rakaman tentang kejadian berkenaan tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya telah menerima laporan tentang pergaduhan itu pada 20 April lalu sebaik sahaja ia berlaku.

Menurut beliau, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dan provokasi di antara pemilik restoran dan pelanggan atas isu pembayaran makanan.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 160/ 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 958,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Dalam rakaman video berdurasi 1 minit 36 saat itu, dua lelaki dilihat bertengkar dan melakukan kekasaran antara satu sama lain.

Sekumpulan individu lain termasuk wanita cuba meleraikan mereka namun usaha itu tidak berjaya.

Dua lelaki yang dilihat bergaduh itu juga tidak menghiraukan dua anggota penguat kuasa PBT yang berada di lokasi kejadian.

A Asmadi turut menafikan tuduhan bahawa polis tidak mengambil tindakan sewajarnya walaupun beberapa individu yang berpakaian seperti seragam pasukan keselamatan tersebut dilihat berada di tempat kejadian.

Dakwaan tidak berasas itu dibuat oleh pemilik akaun Twitter V 3 3 R U @ Veeruuuuuuuu dalam ciapannya ketika berkongsi video tular tersebut.

“Semakan polis mendapati individu-individu yang dilihat berpakaian uniform warna gelap dalam video itu bukanlah anggota PDRM dan sebenarnya merupakan anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pusat Ipoh sepertimana Pusat Repot: 1981 / 21 mengenai perkara yang tular tersebut untuk siasatan di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelasnya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan komen tidak benar dan tidak bertanggungjawab melalui kaedah tular di media sosial bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. – EDISI 9

Latest News

Korea Utara tarik diri: Malaysia rayu FIFA adil buat ketetapan

CYBERJAYA - Malaysia menghantar surat rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung penarikan diri Korea Utara daripada kelayakan...

More Articles Like This